Bakar al-Quran: Bukti negara barat gagal pelihara demokrasi - Penganalisis

Hilmi Malik
Januari 23, 2023 05:15 MYT
Paludan diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR : Insiden pembakaran al-Quran di Sweden menunjukkan bukti kegagalan negara barat berhubung soal demokrasi kata Pakar Kajian Strategik dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohd Mizan Aslam.
Tindakan itu ujarnya telah membuka laluan kepada kelompok ektremis yang berpendirian mempunyai hak untuk membangkitkan apa saja suara dan pendapat.
“Negara barat bergerak atas nama kebebasan bersuara, berhimpun, dan menyatakan apa jua pandangan yang diiktiraf oleh mereka.
“Kebebasan itu amat diperjuangkan oleh negara-negara Scandanavia dan maka sebab itulah ada ramai pejuang bersifat pemberontak mendapat perlindungan oleh negara seperti Sweden, Norway, dan juga Finland.
“Akibatnya, negara seperti itu melahirkan kelompok yang ekstrem yang memperjuangkan perkara yang dianggap waras bagi mereka tetapi ketepikan unsur berkaitan agama, tatatusila dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Katanya negara barat perlu bahawa statistik penduduk muslim semakin bertambah khususnya di Eropah, justeru tidak mustahil mampu menjadi kumpulan majoriti di beberapa negara.
Lebih membimbangkan sekiranya elemen kebencian terus disebarkan maka secara tidak langsung umat Islam di beberapa negara barat akan terus menjadi subjek menerima serangan.
“Selagi mereka tinggal di barat dan Islamofobia itu dikembangkan secara meluas maka Islam itu akan sentiasa dilihat buruk.
“Kita juga jangkakan akan berlakunya beberapa siri pertembungan jika perkara ini tidak diambil tindakan secara serius,” katanya lagi.
Pada 21 Januari lalu, ahli politik Sweden-Denmark Islamofobik, Rasmus Paludan bertindak membakar senaskah al-Quran di Stockholm.
Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark 'Stram Kurs', diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut selain turut menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu.
#Rasmus Paludan #Anwar Ibrahim #Islam #Al Quran
;