AS bakal tempatkan hampir 3,000 tentera di Eropah Timur
Agensi
Februari 2, 2022 00:28 MYT
Februari 2, 2022 00:28 MYT
WASHINGTON: Presiden Joe Biden telah meluluskan penempatan hampir 3,000 tentera Amerika ke Eropah timur dalam beberapa hari akan datang di tengah-tengah ketegangan antara Ukraine dan Rusia.
Menurut Pentagon, ia sebagai isyarat kesediaan Amerika Syarikat untuk mempertahankan sekutu mereka, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Penempatan itu melebihi jumlah 8,500 tentera yang diletakkan Pentagon dalam keadaan berjaga-jaga sejak bulan lalu sebagai persediaan jika diperlukan.
Langkah itu bertujuan untuk meyakinkan NATO yang berdepan dengan pembentukan tentera Rusia berhampiran Ukraine sambil mengelakkan penempatan baharu ke Ukraine sendiri, yang bukan sebahagian daripada NATO.
Menurut sumber, sebanyak 1,700 akan ditempatkan dari Fort Bragg di North Carolina ke Poland dan 300 lagi dari pangkalan ke Jerman.
Manakala, kira-kira 1,000 tentera yang berpangkalan di Jerman akan dikerahkan ke Romania.
Pentagon juga tidak menolak akan menambah bilangan anggota tenteranya seperti yang diumumkan pada Rabu.
“Adalah penting untuk kami menghantar isyarat jelas kepada (Presiden Rusia) Vladimir Putin dan kepada dunia bahawa NATO penting kepada Amerika Syarikat dan ia penting kepada sekutu kami," kata jurucakap Pentagon John Kirby dalam satu taklimat berita.
Tentera AS dimaklumkan tentang arahan berkenaan minggu lalu termasuk penglibatan pasukan tempur briged tambahan, kakitangan logistik, sokongan perubatan, sokongan penerbangan dan pasukan yang terlibat dengan misi risikan, pengawasan dan peninjauan.