Bakal Presiden Indonesia komited kukuh kerjasama dengan Jepun
Bernama
April 3, 2024 07:30 MYT
April 3, 2024 07:30 MYT
JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto pada Rabu menyatakan komitmen beliau untuk meningkatkan kerjasama, terutamanya dalam pertahanan antara Indonesia dan Jepun.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Indonesia, semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Tokyo pada 3 April, bakal Presiden Indonesia itu menekankan hubungan yang kukuh antara kedua-dua negara.
Prabowo menyatakan harapannya untuk "kerajaan Jepun menyertai usaha dalam mengukuhkan hubungan masa depan dan memajukan kerjasama dalam pertahanan."
Dalam reaksinya, Kishida menyatakan aspirasinya untuk memperdalam kerjasama dua hala dengan Indonesia dengan matlamat untuk mempromosikan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
"Lawatan ini benar-benar menggembirakan. Jepun dan Indonesia mempunyai hubungan persahabatan yang lama. Saya berharap dapat meningkatkan lagi kerjasama sebagai rakan kongsi dengan nilai dan prinsip yang sama," kata Kishida, menurut kenyataan itu.
Kedutaan Jepun di Indonesia dalam satu kenyataan berasingan menyatakan, pertemuan berlangsung selama kira-kira 35 minit di pejabat Kishida pada 9.15 pagi waktu tempatan.
Perdana menteri menyatakan sokongan terhadap usaha penyertaan Indonesia ke Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Kishida juga menunjukkan minat untuk meningkatkan kerjasama keselamatan, melangkaui penyediaan kapal peronda besar yang dipersetujui pada Disember tahun lepas.
Lawatan Prabowo ke Tokyo selepas lawatan luar negara pertamanya ke Beijing setelah diumumkan sebagai presiden terpilih pada 20 Mac, atas jemputan Presiden China, Xi Jinping. - BERNAMA