AS bakal iktiraf penjajahan Israel di Tebing Barat, Lembah Jordan
Astro Awani
April 29, 2020 09:30 MYT
April 29, 2020 09:30 MYT
AMERIKA Syarikat (AS) dilapor akan mengiktiraf wilayah jajahan baharu Israel di Tebing Barat, namun meminta kerajaan zionis itu untuk berunding dengan Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjanji meneruskan pencerobohan wilayah itu walaupun ditentang rakyat Palestin yang mengancam bahawa langkah itu akan menutup terus pintu rundingan.
Pada Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ketika mengumumkan 'Visi Timur Tengah' memberi lampu hijau kepada proses pencerobohan tersebut.
Perjanjian Netanyahu dengan pemimpin pusat, Benny Gantz juga bersetuju Kabinet akan berunding dengan Washington sebelum membuat apa sahaja langkah.
Rakyat Palestin telah menyatakan kemarahan mereka terhadap terhadap rancangan Israel untuk menguatkan pegangannya di tanah yang dirampas dalam perang 1967, iaitu wilayah yang mereka tuntut untuk sebuah negara.
Kesatuan Eropah (EU) juga mengkritik rancangan Trump sebagai bukti kegagalan dalam usaha ke arah penubuhan dua negara.
"Seperti yang kami jelaskan secara konsisten, kami bersedia untuk mengiktiraf tindakan Israel untuk memperluas kedaulatan dan penerapan undang-undang ke wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara Israel.
"Langkah mereka seiring konteks pemerintah Israel yang bersetuju untuk berunding dengan Palestin selari dengan yang ditetapkan Trump," kata jurucakap Jabatan Luar Negeri AS pada Isnin.
Kenyataan itu dikeluarkan setelah Netanyahu melahirkan keyakinan AS akan memberikan persetujuan kepada Israel dalam masa dua bulan untuk bergerak dan mengiktiraf Tebing Barat.
Trump, yang dilihat pro-Israel, telah bersetuju dengan senarai permintaan itu kepada Netanyahu sejak tiga tahun lalu.
Rancangan itu akan membenarkan Israel mengambil penempatan Yahudi di Tebing Barat yang dijajah dan memberi kedaulatan hingga ke Jordan.
Rakyat Palestin akan diberikan entiti yang berdaulat dengan ibu negara Palestin akan berada di pinggir Baitulmaqdis, kota suci yang akan terus berada di bawah jajahan Israel.
Kenyataan Jabatan Negara melalui Setiausaha Negara Mike Pompeo itu disifatkan wartawan 'Keputusan Israel'.
Palestin dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap petempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram.
Ia berdasarkan Konvensyen Geneva yang melarang penempatan di tanah yang ditawan dalam perang.
Israel mempertikaikannya dengan alasan keperluan keselamatan, hubungan, sejarah dan politik ke atas wilayah itu.
Liga Arab merancang untuk mengadakan pertemuan maya minggu ini untuk membincangkan rancangan di bawah perjanjian pakatan Israel yang mungkin terjadi seawal Julai.
#AS
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#EU
#Israel
#Kesatuan Eropah
#PBB
#pencerobohan wilayah
#penjajahan wilayah
#Tebing Barat