Bakal dipenjara kerana bandingkan makanan tradisi dengan 'alat sulit' kuda
Reuters
Januari 3, 2016 20:53 MYT
Januari 3, 2016 20:53 MYT
Seorang pekerja British di lombong emas terbesar di Kyrgyzstan ditahan oleh polis dan berkemungkinan dipenjarakan sehingga lima tahun, selepas dia membandingkan satu makanan tradisi negara itu dengan 'alat sulit' kuda jantan.
Tindakannya itu mencetuskan kemarahan pelombong lain yang kemudiannya mengadakan mogok.
Michael Mcfeat sebelum itu memuat naik beberapa keping gambar sambutan Tahun Baru di tempat kerjanya di akaun Facebook, yang memperlihatkan bagaimana pekerja-pekerja di situ beratur untuk mendapatkan "makanan istimewa, 'alat sulit' kuda".
Hidangan tersebut, iaitu "chuchuk", merupakan sosej diperbuat daripada daging kuda dan usus.
Hal itu membangkitkan kemarahan dan satu mogok diadakan pada hari Sabtu di lombong Kumtor, menurut kenyataan kesatuan sekerja pelombong-pelombong tempatan.
Mcfeat sedang disoal siasat oleh polis bandar Karakol tetapi tidak didakwa, kata seorang jurucakap polis.
Mcfeat telah membuang kapsyen itu dan memohon maaf, tetapi kesatuan sekerja berkata tindakan tersebut telah mengapi-apikan perasaan benci, yang boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga lima tahun. Pekerja-pekerja itu mendesak agar hukuman setimpal diberikan dan pihak syarikat memohon maaf.