Bahasa Melayu bahasa rasmi ASEAN: Menteri Indonesia mahu cadangan dikaji, dibahas terlebih dahulu
Agensi
April 4, 2022 23:31 MYT
April 4, 2022 23:31 MYT
JAKARTA: Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim menolak usulan yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan Bahasa Melayu bahasa rasmi ASEAN.
Portal Detik.com melaporkan Nadiem sebagai berkata, kementeriannya diberi amanah untuk mengembangkan, membina dan melindungi bahasa dan sastera Indonesia, serta meningkatkan fungsi bahasa Indonesia sebagai bahasa antarabangsa.
Namun beliau menjelaskan, disebabkan ada hasrat dari Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai ASEAN, ia perlu dikaji dan dibahas dengan lebih mendalam di peringkat serantau.
"Saya sebagai Mendikbudristek (Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi), tentu menolak usul tersebut.
"Namun, kerana ada keinginan negara sahabat kita mengajukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, tentu keinginan tersebut perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut," ujar Nadiem dalam satu kenyataan pada Isnin
Menurut Nadiem, bahasa Indonesia dengan latar sejarah, hukum dan linguistik adalah lebih layak untuk ditonjolkan sebagai bahasa utama.
Hujah beliau juga, di peringkat antarabangsa, bahasa Indonesia telah menjadi bahasa terbesar di Asia Tenggara dan penyebarannya mencakupi 47 negara di seluruh dunia.
Bahasa Indonesia juga, kata Nadiem diajar sebagai mata pelajaran di beberapa pusat pengajian terkemuka di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, dandi beberapa pusat pengajian tinggi terkemuka di Asia.
"Dengan semua keunggulan yang dimiliki bahasa Indonesia dari aspek sejarah, hukum, dan linguistik, serta bagaimana bahasa Indonesia telah menjadi bahasa yang diakui secara antarabangsa, sudah selayaknya bahasa Indonesia duduk di posisi terdepan, dan jika memungkinkan menjadi bahasa pengantar untuk pertemuan-pertemuan rasmi ASEAN," katanya lagi.
Baru-baru ini ketika lawatannya ke Indonesia, Ismail Sabri memaklumkan pihaknya dan Presiden Indonesia Joko Widodo bersetuju untuk memperkasakan Bahasa Melayu dan seterus dijadikan bahasa rasmi ASEAN.