Bahana rasuah, Arab Saudi pecat Komander Tertinggi dan anaknya

Agensi
September 2, 2020 00:09 MYT
Difahamkan kerajaan negara itu juga sedang menyiasat empat pegawai lain atas arahan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud (gambar).
KOMANDER Tertinggi Arab Saudi, Leftenan Jeneral Fahad Turki Abdulaziz dan anaknya Putera Abdulaziz dipecat daripada jawatan mereka.
Menurut Saudi Press Agency, pemecatan itu susulan dakwaan mereka terlibat dalam salah laku rasuah.
Turut dipecat beberapa pegawai kanan lain.
Kedua-dua mereka dikatakan terlibat dalam urus niaga yang mencurigakan yang dipantau di Kementerian Pertahanan.
Jeneral Fahad merupakan seorang putera dalam keluarga besar pemerintah Arab Saudi.
Beliau bertanggungjawab terhadap pasukan tentera pakatan dalam perang memerangi pemberontak Houthi di Yaman.
Manakala anaknya, Putera Abdulaziz dipecat daripada jawatannya sebagai wakil Gabenor Wilayah Al-Jouf Arab Saudi di barat laut kerajaan itu.
Dalam satu kenyataan, difahamkan kerajaan negara itu juga sedang menyiasat empat pegawai lain atas arahan Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kesemua mereka telah ditahan dan mempunyai peguam.
Leftenan Jeneral Fahad hanya mengambil alih operasi perang di Yaman pada Februari 2018.
Beliau sebelum ini bertugas sebagai komander pasukan payung terjun dan pasukan khas serta mengawasi angkatan darat Arab Saudi.
#Abdulaziz Fahad Turki Abdulaziz #Arab Saudi #Fahad Turki Abdulaziz #keluarga #kerajaan #komander #operasi #pecat #pemerintah #perang #Raja Salman #Rasuah #tentera #urus niaga #urus niaga mencurigakan #Yaman