Bahan letupan ditemukan dalam kereta suspek penembak Trump - Laporan

Bernama
Julai 15, 2024 12:45 MYT
Crooks ditembak mati oleh ejen Perkhidmatan Rahsia selepas dia melepaskan tembakan ke arah Trump. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Pihak berkuasa menemukan bahan letupan dalam kereta yang dipandu lelaki berusia 20 tahun yang didakwa cuba membunuh bekas Presiden Donald Trump semasa perhimpunan kempennya di Pennsylvania, menurut beberapa laporan media pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Ringkasan AI
  • Pihak berkuasa menemukan bahan letupan dalam kereta yang dipandu seorang lelaki yang didakwa cuba membunuh bekas Presiden Donald Trump semasa perhimpunan kempennya di Pennsylvania, serta potensi bom ketiga di rumah suspek.
  • Kejadian tembakan pada Sabtu mencederakan Trump dan dua yang lain serta membunuh seorang peserta perhimpunan, manakala suspek, Thomas Matthew Crooks, ditembak mati oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.
  • Motif serangan masih belum diketahui dan suspek menggunakan senjata api jenis AR-15 yang kerap digunakan dalam kejadian tembakan rambang di AS.

Penguatkuasa undang-undang dilapor menemukan bahan letupan itu semasa menyiasat kejadian tembakan pada Sabtu yang mencederakan Trump dan dua yang lain selain membunuh seorang peserta perhimpunan.
Dua bahan letupan itu ditemukan penyiasat dalam kenderaan suspek Thomas Matthew Crooks dan potensi bom ketiga di rumahnya, lapor New York Times.
Media lain turut melaporkan penemuan berkenaan tetapi berbeza mengenai jumlah bahan letupan dan sama ada ia merupakan bom atau bahan membuat bom.
Crooks ditembak mati oleh ejen Perkhidmatan Rahsia selepas dia melepaskan tembakan dari kedudukan tinggi di luar padang di Butler, Pennsylvania di mana Trump sedang berucap kepada penyokongnya menjelang pilihan raya Presiden pada November.
Pihak berkuasa masih belum menentukan motif serangan itu.
Penyerang itu dilaporkan menggunakan senjata api jenis AR-15 yang kerap digunakan dalam kejadian tembakan rambang di AS.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Kes Tembak #cubaan bunuh #bahan letupan #identiti penyerang