Bagi arahan culik dan bunuh, polis Dallas ditahan
Astro Awani
Mac 4, 2021 07:15 MYT
Mac 4, 2021 07:15 MYT
DALLAS: Seorang pegawai polis Dallas ditahan atas dua tuduhan membunuh, lebih setahun setengah selepas seorang lelaki memberitahu pegawai penyiasat dia diarah menculik dan membunuh dua individu pada 2017, kata pihak berkuasa.
Bryan Riser, pegawai polis yang sudah berkhidmat selamat 13 tahun itu, ditahan pada pagi Khamis dan dibawa ke Penjara Dallas untuk tindakan lanjut, menurut kenyataan polis.
Riser ditahan bagi kes pembunuhan Liza Saenz, 31, dan Albert Douglas, 61, selepas seorang lelaki tampil kepada pihak berkuasa pada Ogos 2019 dan memberitahu polis dia diarah menculik dan membunuh dua individu tersebut oleh Riser, kata Ketua Polis Dallas, Eddie Garcia dalam satu sidang media pada Khamis.
Tambahnya, motif pembunuhan belum dapat dikenal pasti, namun ia tiada kaitan dengan tugas Riser sebagai anggota polis.
Garcia tidak menjelaskan mengapa Riser ditahan hampir 20 bulan selepas saksi berkenaan tampil memberi keterangan kepada polis.
Riser mula berkhidmat sebagai anggota polis pada tahun 2008 dan menjadi pegawai peronda semasa siasatan mengenai pembabitannya dalam pembunuhan tersebut dijalankan.
Namun Garcia memberitahu, pegawai penyiasat homisid serta anggota Biro Siasatan Persekutuan (FBI) masih menjalankan siasatan terhadap pembunuhan itu dan pejabatnya sedang meneliti tangkapan terhadap Riser.
Mayat Saenz ditemui di dalam Sungai Trinity, Dallas pada 10 Mac 2017 dengan beberapa kesan tembakan, kata Garcia. Douglas pula dilaporkan hilang pada tahun itu namun mayatnya masih tidak ditemui.
Sebelum ini tiga individu telah ditahan dan didakwa atas pembunuhan Saenz, menurut afidavit dalam penahanan Riser. Namun ia tidak mendedahkan identiti tertuduh.
Salah seorang tertuduh mendakwa dia terlibat dalam beberapa kes pecah masuk rumah bersama Riser ketika mereka remaja.
Baru-baru ini mereka telah merancang untuk memecah masuk beberapa rumah pengedar dadah namun tidak melakukannya, tambah afidavit tersebut.
Dia turut mendedahkan telah ditawar AS$9,500 untuk menculik dan membunuh Douglas dan Saenz.
Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua mangsa telah tembak mati dan mayat mereka dibuang ke dalam sungai.
Ini bukan kali pertama Riser disabitkan dengan kegiatan jenayah. Pada Mei 2017, Riser dituduh menyerang dan mencederakan bekas teman wanitanya.
Riser telah diberi cuti pentadbiran sementara menunggu hasil siasatan dalaman.
Jurucakap pejabat Peguam Daerah Dallas County memaklumkan jabatannya tidak mempunyai maklumat mengenai kes itu.