Bagaimanakah kehidupan di Delhi apabila musim panas rekod suhu tertinggi?

Bernama
Mei 30, 2024 04:15 MYT
Gelombang haba tahun ini adalah agak teruk dan mempengaruhi cara penduduk menjalankan aktiviti harian mereka. - Foto fail/REUTERS
NEW DELHI: Sebuah kawasan di Delhi merekodkan suhu tertinggi 52.9 darjah Celsius pada Rabu. Maka tidak menghairankan, bacaan suhu ini menjadi tajuk berita utama media.
Namun, terdapat sedikit kekeliruan di sini.
Ini tidak bermakna seluruh bandar mengalami tahap kepanasan yang sama.
Suhu di Delhi dan kebanyakan tempat di barat laut India menghampiri 50 C dalam beberapa hari kebelakangan ini manakala di puluhan bandar bacaan telah direkodkan melebihi 46 C.
Walaupun tajuk berita utama menyatakan 52.9 C di ibu negara India pada Rabu, penulis secara peribadi tidak merasa lebih panas atau lebih tidak selesa berbanding Selasa, ketika stesen cuaca di kawasan yang sama di Mungeshpur menunjukkan suhu maksimum pada 49.9 C.
Bacaan suhu di 21 lokasi yang diterbitkan oleh Jabatan Meteorologi India (IMD) pada Rabu menunjukkan bahawa kawasan Pragati Maidan, kira-kira 50 kilometer (km) dari Mungeshpur dan 11 km dari tempat tinggal saya adalah 45.2 C, menjadikannya tempat yang paling kurang panas di kawasan ibu negara.
Walaupun 52.9 C adalah suhu tertinggi yang pernah direkodkan di India, suhu musim panas yang melebihi 45 C bukanlah sesuatu yang luar biasa di negeri-negeri seperti Rajasthan, Uttar Pradesh, Haryana dan Madhya Pradesh.
Gelombang haba tahun ini adalah agak teruk dan mempengaruhi cara penduduk menjalankan aktiviti harian mereka.
Di bandar-bandar padang pasir di rantau Teluk Arab, kehidupan tanpa penghawa dingin di rumah, kenderaan dan pejabat adalah sukar untuk dibayangkan.
Namun, barat laut dan tengah India boleh menjadi panas seperti Dubai atau Doha pada musim panas, tetapi majoriti penduduk tidak mempunyai akses kepada pendingin hawa.
Kipas elektrik dan penyejuk udara biasanya digunakan dan mendapat permintaan tinggi, walaupun pasaran pendingin hawa semakin berkembang di bandar-bandar besar dan kawasan bandar.
Gangguan bekalan elektrik di bandar-bandar dan pekan kecil pada bulan-bulan musim panas antara Mac dan September boleh menjadi punca 'kesengsaraan'.
Bidai yang diperbuat daripada buluh juga banyak digunakan secara meluas di teres dan beranda untuk mengurangkan kesan cahaya matahari langsung dan panas.
Kanak-kanak, wanita dan mereka yang sakit perlu mengambil langkah berjaga-jaga khas semasa tempoh kemuncak musim panas.
Mereka yang bekerja di luar rumah, pekerja binaan dan penghantar barang amat berisiko terkena strok haba.
Yang menghairankan, bukan perkara biasa untuk melihat orang di utara India menggunakan payung untuk melindungi diri mereka daripada terik matahari.
Saya melawat beberapa pusat pengundian dalam keadaan panas pada Sabtu dan melihat hanya seorang yang memegang payung.
Tetapi ramai penduduk yang membawa botol air untuk kekal terhidrat.
Kekal terhidrat adalah kunci untuk mengatasi haba di Delhi dan air kosong adalah yang terbaik.
Minuman jalanan harus dielakkan atas sebab kebersihan.
Mengambil makanan yang terlalu pedas, bergoreng atau berminyak adalah mengundang kepada masalah perut, terutamanya jika anda dalam perjalanan.
Saya baru-baru ini mengembara ke Lucknow di Uttar Pradesh, tetapi kepanasan yang melampau tidak membenarkan saya menikmati masakan terkenal di bandar itu.
Delhi yang sangat bergantung kepada negeri-negeri jiran Haryana dan Uttar Pradesh untuk keperluan airnya, mungkin mengalami kekurangan air jika gelombang haba berterusan.
Pentadbiran negeri pada Rabu meminta orang ramai supaya tidak membazirkan air dan mengingatkan mengenai hukuman jika amaran tersebut tidak diendahkan.
Cuti sekolah musim panas yang sedang berlangsung di Delhi adalah satu kelegaan besar kepada ibu bapa kerana anak-anak tidak perlu keluar semasa waktu puncak musim panas.
Banyak keluarga pergi ke kawasan berbukit untuk percutian musim panas, tetapi tempat-tempat ini di rantau Himalaya ini mempunyai permintaan yang luar biasa tinggi untuk penginapan pelancong dan perkhidmatan pengangkutan.
Walaupun panas boleh menyukarkan, musim panas di India juga bermakna bekalan buah-buahan yang banyak seperti tembikai dan mangga.
-- BERNAMA
#pelancong #gelombang haba #musim panas #botol air
;