Bagaimana gelombang keganasan di UK tercetus?

Astro Awani
Ogos 9, 2024 23:30 MYT
Susulan penyebaran maklumat palsu itu, kumpulan sayap kanan mula mengatur protes anti-pendatang dan anti-Islam termasuk demonstrasi di majlis peringatan untuk mangsa yang terkorban. - Foto REUTERS
IA tidak mengambil masa lama untuk dakwaan palsu muncul di media sosial selepas tiga kanak-kakan perempuan dibunuh di bandar Southport, United Kingdom (UK) dalam insiden yang berlaku pada hujung Julai lalu.
Dalam beberapa jam, maklumat palsu tentang nama penyerang, agama dan status penghijrahan - mendapat perhatian meluas, sehingga mencetuskan gelombang maklumat salah dan membawa kepada rusuhan ganas selama berhari-hari di seluruh UK.
Antara maklumat palsu yang dikongsi di media sosial mendakwa penyerang itu berada dalam senarai pemerhatian perkhidmatan perisikan, datang ke UK menaiki bot kecil pada 2023, serta dikenali oleh perkhidmatan kesihatan mental tempatan.
Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu sehari selepas ia tersebar dan menegaskan suspek dilahirkan di Britain tetapi naratif palsu itu sudah mendapat tarikan ramai.
Maklumat salah semarakkan kecenderungan dan prasangka
Memetik artikel CNBC, Ketua Penyelidikan dan Teknologi sebuah syarikat di UK, Joe Ondrak berkata maklumat palsu sedemikian sejajar dengan retorik yang telah menyemarakkan gerakan anti-penghijrahan di UK dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ia benar-benar menjadi daya tarikan kepada mereka, anda tahu. Sebenarnya, ia adalah perkara yang tepat untuk dikatakan bagi mencetuskan reaksi yang lebih marah daripada yang mungkin berlaku sekiranya maklumat palsu itu tidak disebarkan,” katanya dalam temu bual bersama CNBC.
Ondrak menambah maklumat palsu yang tersebar dalam talian telah memberi 'kesan' kepada sikap bias dan prasangka yang telah ada.
“Ini bukan kes di mana dakwaan palsu ini disebarkan dan kemudiannya ia dipercayai oleh semua orang.
"Sebaliknya, laporan tersebut bertindak sebagai “cara untuk merasionalisasi dan menguatkan prasangka dan bias" yang telah ada serta spekulasi sebelum sebarang kebenaran yang sahih dapat diketahui," katanya lagi.
Susulan penyebaran maklumat palsu itu, kumpulan sayap kanan mula mengatur protes anti-pendatang dan anti-Islam termasuk demonstrasi di majlis peringatan untuk mangsa yang terkorban.
Situasi itu berkembang kepada rusuhan beberapa hari di UK, yang menyaksikan serangan terhadap masjid, pusat imigresen, dan hotel yang menempatkan pencari suaka.
Penyebaran maklumat salah dalam talian
Sementara itu, penganalisis kebencian dan ekstremisme di Institut Dialog Strategik (ISD), Hannah Rose, berpandangan media sosial menyediakan cara penting untuk penyebaran maklumat yang salah, sama ada melalui penguatan algoritma atau kerana ia dikongsi oleh pemilik akaun yang mempunyai pengikut yang ramai.
“Sebagai contoh apabila anda mencari ‘Southport’ di TikTok, dalam bahagian ‘Others Searched For’, yang mengesyorkan kandungan yang serupa, nama palsu penyerang telah dipromosikan oleh platform itu sendiri.
"Ia termasuk lapan jam selepas polis mengesahkan bahawa maklumat ini adalah tidak betul,” kata Rose.
Analisis ISD menunjukkan bahawa algoritma berfungsi dengan cara yang sama pada platform lain seperti X, di mana nama penyerang yang tidak betul telah dipaparkan sebagai topik sohor kini.
Selain laman X, maklumat palsu tersebut turut tersebar di Telegram.
Sementara rusuhan berterusan, pemilik X, Elon Musk, turut campur tangan dengan membuat komen kontroversi mengenai demonstrasi ganas di platformnya.
Kenyataan beliau mengundang reaksi balas dari kerajaan UK, dengan menteri mahkamah negara menyeru Musk untuk “berkelakuan bertanggungjawab.”
Beribu-ribu penunjuk perasaan anti-perkauman turun ke jalanan di beberapa bandar untuk menentang keganasan berunsur perkauman sayap kanan yang menyebabkan polis UK berjaga-jaga.
Penyederhanaan Kandungan?
UK mempunyai Akta Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan untuk memerangi kenyataan kebencian, tetapi ia hanya berkuat kuasa awal tahun depan dan mungkin tidak mencukupi untuk melindungi daripada beberapa bentuk maklumat salah.
Pada Rabu, pengawal selia media UK Ofcom mengeluarkan surat kepada platform media sosial mengatakan mereka tidak perlu menunggu undang-undang baharu berkuat kuasa.
Kerajaan UK juga berkata syarikat media sosial perlu melakukan lebih banyak usaha (untuk memerangi maklumat salah).
Banyak platform sudah mempunyai terma, syarat serta garis panduan komuniti - pada tahap yang berbeza-beza yang meliputi kandungan berbahaya dan menguatkuasakan tindakan terhadapnya.
Rose menambah, syarikat-syarikat terbabit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa kebencian dan keganasan tidak dipromosikan di platform mereka, selain perlu melakukan lebih banyak lagi langkah untuk menguatkuasakan peraturan.
Beliau berkata ISD telah menemui pelbagai kandungan pada beberapa platform yang berkemungkinan bertentangan dengan syarat perkhidmatan mereka, tetapi kekal dalam talian.
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah didakwa atas tuduhan membunuh tiga kanak-kanak perempuan dan cubaan membunuh 10 lagi dalam serangan menggunakan pisau di kelas tarian bertemakan Taylor Swift.
Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) berkata, ia sudah memberi kuasa kepada Polis Merseyside untuk mendakwa suspek dengan tiga pertuduhan membunuh atas kematian Bebe King, 6, Elsie Dot Stancombe, 7, dan Alice Dasilva Aguiar, 9.
#Protes UK #Maklumat salah protes UK #Serangan bunun kanak-kanak UK