Badut ketawa menghilai ketika bunuh wanita depan tiga anak

Agensi
Mei 17, 2018 12:48 MYT
Kevin dikatakan ketawa menghilai bagaikan watak badut gila dalam filem ketika melakukan pembunuhan tersebut. -Foto Daily Star
JIKA watak badut pembunuh Pennywise dalam filem "It" hanyalah satu fiksyen seram, lain pula kisahnya di Belgium apabila seorang badut bagaikan dirasuk watak gila itu sebelum melakukan pembunuhan.
Dalam kejadian di Oudenburgi, seorang lelaki yang bertugas sebagai badut hospital ditahan kerana didakwa membunuh bekas kekasihnya.
Kevin Leipere, 31, dituduh membunuh Caroline D di kediaman wanita tersebut selepas mangsa memutuskan hubungan mereka atas alasan anaknya tidak menyukai lelaki badut itu.
Berang cintanya tidak dibalas, Kevin bersama rakannya Dietwin Haegheman, 38, bertindak mengurung wanita itu bersama anak-anaknya di rumah mereka.
Caroline kemudian dibelasah hingga mati di hadapan ketiga-tiga anaknya.
Kevin kemudian didakwa menakut-nakutkan ketiga-tiga anak wanita itu yang berusia 12, 15 dan 17 tahun hingga menyebabkan mereka trauma.
Insiden itu dilapor disiarkan secara langsung melalui Facebook Live.
Menurut laporan media tempatan, Kevin dikatakan ketawa menghilai bagaikan watak badut gila dalam filem ketika melakukan pembunuhan tersebut.
Ketika serbuan, polis menemui anak mangsa dalam keadaan diikat di loteng rumah.
Suspek dan rakan subahatnya berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan dengan polis.
#Badut #Belgium #bunuh #Facebook #jenayah #Kanak-kanak #mangsa #suspek
;