Badan penerbangan Filipina-Malaysia jalin kerjasama tingkat operasi SAR

Bernama
Disember 4, 2024 06:45 MYT
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia berhasrat untuk membangunkan strategi dan meningkatkan penyelarasan untuk operasi SAR aeronautik.
MANILA: Pihak berkuasa penerbangan Filipina dan Malaysia telah bekerjasama untuk meningkatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), lapor Agensi Berita Filipina (PNA), memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP).
CAAP berkata, ia bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia pada Rabu untuk menubuhkan kumpulan kerja SAR untuk bertukar-tukar amalan terbaik.
"Filipina mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif SAR serantau, seperti Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER), dan bekerjasama rapat dengan negara jiran untuk operasi SAR rentas sempadan," kata jurucakap CAAP Eric Apolonio kepada PNA.
Bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai rakan kongsi baharunya, kumpulan ini berhasrat untuk membangunkan strategi dan meningkatkan penyelarasan untuk operasi SAR aeronautik.
Menurut CAAP, perkongsian itu dijangka mengukuhkan keupayaan rantau ini untuk bertindak balas dengan berkesan terhadap kecemasan dan memupuk hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara.
Ia menambah bahawa kerjasama itu menekankan komitmen bersama Filipina dan Malaysia untuk menangani cabaran SAR, meningkatkan kerjasama serantau dan memastikan keselamatan penerbangan di seluruh wilayah mereka.
Sebelum perkongsian itu, Apolonio berkata, CAAP juga telah menandatangani perjanjian dengan Jepun, Amerika Syarikat dan Australia untuk pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal.
Sementara itu, Apolonio berkata, CAAP memastikan operasi SAR mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Beliau menambah, operasi SAR aeronautik Filipina menekankan penyelarasan antara agensi dan penglibatan komuniti.
-- BERNAMA
#Filipina-Malaysia #operasi sar #CAAP #pihak berkuasa penerbangan
;