Badan pemantau Rusia sedang pertimbang sekat produk ikan Jepun
Bernama
September 26, 2023 23:03 MYT
September 26, 2023 23:03 MYT
MOSCOW: Badan pemantau keselamatan pertanian Rusia, Rosselkhoznadzor, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menyertai langkah China yang mengenakan sekatan ke atas produk ikan Jepun, berikutan risiko pencemaran radiasi, lapor Sputnik.
Pada 24 Ogos, Jepun memulakan proses melepaskan air sisa terawat dari Fukushima NPP ke Lautan Pasifik.
Tokyo berkata air itu telah dibersihkan daripada semua radionuklid kecuali tritium yang masih dalam had yang boleh diterima.
Langkah Jepun itu telah mendapat tentangan kuat terutama dari China yang telah bertindak menggantung import makanan laut dari negara berkenaan.
"Dengan mengambil kira kemungkinan risiko pencemaran sinaran produk, Rosselkhoznadzor sedang mempertimbangkan untuk menyertai sekatan China terhadap bekalan produk ikan dari Jepun.
"Keputusan muktamad akan dibuat selepas rundingan dengan pihak Jepun," menurut kenyataan itu pada Selasa.
-- BERNAMA