Badan kehakiman Tunisia arahkan presiden interim Ennahda ditahan

Bernama
September 21, 2023 13:55 MYT
Parti Ennahda pada 5 Sept berkata pasukan keselamatan Tunisia menahan Ounissi (gambar) dan membawanya ke lokasi yang tidak diketahui. - Foto Reuters
TUNIS: Badan kehakiman Tunisia pada Rabu memutuskan untuk menahan secara rasmi presiden sementara parti Ennahda, Mondher Ounissi.
Peguam Murad al-Obeidi memberitahu Agensi Anadolu bahawa seorang hakim penyiasat mengarahkan penahanan Ounissi di bawah tuduhan "bersubahat menentang keselamatan negara."
Parti Ennahda pada 5 Sept berkata pasukan keselamatan Tunisia menahan Ounissi dan membawanya ke lokasi yang tidak diketahui.
"Badan kehakiman akan menyoal siasat Ounissi minggu depan untuk melihat sama ada akan melanjutkan tahanannya atau membebaskannya," kata al-Obeidi.
Pihak berkuasa kehakiman Tunisia belum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
Pada 26 April, parti Ennahda menugaskan Ounissi sebagai pemangku ketuanya berikutan penahanan pemimpin parti itu, Rached Ghannouchi.
Pihak berkuasa Tunisia telah bertindak keras terhadap penentangnya sejak Februari, menahan beberapa tokoh media, aktivis dan ahli politik.
Tunisia sedang dilanda krisis politik yang mendalam dan diburukkan lagi keadaan ekonomi negara sejak Presiden Kais Saied menggulingkan kerajaan dan membubarkan parlimen pada 2021.
-- BERNAMA
#Presiden Sementara Tunisia #Mondher Ounissi #ditahan #parti Ennahda
;