Badak sumbu putih utara jantan terakhir dunia tenat
Agensi
Mac 10, 2018 18:08 MYT
Mac 10, 2018 18:08 MYT
Spesies badak sumbu putih utara bakal pupus sepenuhnya ekoran satu-satunya badak jantan spesies berkenaan yang masih wujud, kini dalam keadaan tenat.
Sudan, 45 tahun, mengalami masalah kesihatan yang serius sejak peningkatan usianya, selain mengalami jangkitan di bahagian belakang kaki kanannya sejak setahun lalu.
Haiwan berkenaan kini ditempatkan di Pusat Konservasi Ol Peteja di Kenya yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan bagi memelihara spesies itu.
Sudan merupakan antara tiga ekor badak sumbu putih utara yang masih hidup, dua ekor lagi adalah badak sumbu betina dari spesies yang sama, Najin dan Fatu.
Pemburuan haram secara berleluasa sejak berpuluh tahun yang lalu menyebabkan spesies itu berdepan ambang kepupusan.
Jangkitan yang dialami Sudan menyebabkannya tidak bebas bergerak seperti biasa dan hanya berehat sepanjang masa sambil dijaga rapi oleh pihak konservasi.
“Kami tidak rasa dia (Sudan) dapat bertahan lebih lama”, ujar Elodie A. Sampere, seorang pegawai di konservasi tersebut.
Walaubagaimanapun, masih ada harapan buat Sudan untuk kembali pulih.
Ol Peteja melaporkan ada perubahan positif pada Sudan dari segi pergerakan dan selera makan yang semakin pulih sejak beberapa hari lalu.
Menurut Stephen Ngulu, seorang doktor haiwan di Ol Pejete, pasukan itu berjaya mengawal jangkitan pada kaki Sudan dengan menggunakan ubat penghilang rasa sakit dan antibiotik lantas selera makannya makin bertambah.
Kondisi Sudan kini diharapkan semakin pulih agar kelangsungan spesies berkenaan dapat terus dilindungi.