Badak sumbu putih utara jantan terakhir dikawal ketat 24 jam

Agensi
April 17, 2015 15:06 MYT
Badak sumbu jantan bernama Sudan berusia 40 tahun itu ditempatkan di kawasan konservasi Ol Pejeta di Kenya bersama dua lagi badak betina. - Foto sumber GoFundMe.com
Selepas pembunuhan spesiesnya oleh pemburu haram sejak sekian lama, satu-satunya badak sumbu putih utara jantan yang tinggal di dunia kini dikawal ketat 24 jam oleh anggota keselamatan Kenya.
Badak sumbu jantan bernama Sudan berusia 40 tahun itu ditempatkan di kawasan konservasi Ol Pejeta di Kenya bersama dua lagi badak betina. Selain tiga ekor itu, hanya terdapat dua badak betina lain bagi spesies berkenaan di dunia.
Sumbu Sudan juga telah terpaksa dipotong atas sebab keselamatan, sekali gus menghidupkan harapan agar ia dapat mengawan dan menghasilkan baka seterusnya.
“Satu-satunya sebab sumbunya terpaksa dipotong adalah untuk mengaburi mata pemburu haram. Tanpa sumbu, badak sumbu itu tidak menarik perhatian pemburu haram. Semua ini demi keselamatannya,” ujar pegawai konservasi Elodie Sampere.
Bagi melindungi Sudan daripada pemburu haram, Sudan telah dipasangkan dengan transmiter radio.
Menurut Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) terdapat lebih daripada 2,000 badak sumbu putih utara di muka bumi ini pada tahun 1960. Aktiviti pemburu haram bagaimanapun telah mengurangkan jumlahnya kepada 15 ekor pada tahun 1984.
Pemburu haram sukar dibendung memandangkan permintaan terhadap sumbu badak sudah mencapai harga tinggi di pasaran gelap iaitu sekurang-kurangnya AS$75,000 sekilogram.
“Dengan meningkatnya permintaan terhadap sumbu badak dan gading, kami berdepan dengan banyak perrcubaan pemburu haram. Walaupun kami dapat mengawal buat masa ini, nyawa kami juga turut terancam,” ujar renjer Simor Irungu yang turut bersama anggota keselamatan lain melindungi Sudan.
#badak sumbu #Kenya #Sudan #WWF
;