Babi pun artistik...tercabarkah manusia?
Agensi
Februari 2, 2018 14:51 MYT
Februari 2, 2018 14:51 MYT
Siapa sangka seekor khinzir yang pernah diselamatkan dari sebuah pusat penyembelihan kini menjadi ‘seniman haiwan’ pertama di dunia yang mempamerkan lukisan seninya.
Khinzir betina yang dipanggil Pigcasso itu terkenal apabila lukisan abstraknya pernah terjual sehingga £3,000 (RM16,500).
Sebelum ini, Pigcasso yang pada waktu itu baru berusia empat minggu telah diselamatkan dari sebuah pusat penternakan di Afrika Selatan dalam kondisi yang menyedihkan oleh seorang wanita bernama Joanna Lefson.
Joanna kemudian menyedari bahawa Pigcasso memiliki bakat semulajadi sebelum membantu haiwan itu mengasah bakat melukisnya.
“Pigcasso tidaklah begitu berbeza dengan khinzir yang lain. Dia bijak, penuh rasa ingin tahu dan pintar. Bezanya dia adalah seekor khinzir yang mempunyai bakat yang besar dalam melukis dan saya begitu berbangga dengannya.
“Banyak orang seperti tidak percaya apabila melihat lukisan yang dihasilkan Pigcasso. Mereka seperti takjub dan sukar mempercayai lukisan indah ini dihasilkan oleh seekor khinzir,” tambahnya lagi.
Joanne berharap Pigcasso menggunakan bakatnya untuk menyuarakan kesan buruk dari penternakan terhadap perubahan iklim.
“Saya berharap lukisan ini mampu memberi inspirasi kepada setiap orang untuk menjadikan planet ini lebih baik," katanya.
Pameran lukisan Pigcasso yang diberi nama OINK itu akan diadakan di Cape Town, London, Paris, Berlin dan Amsterdam.