Azerbaijan tandatangani kontrak beli jet pejuang JF-17 Pakistan

Bernama
September 26, 2024 06:15 MYT
JF-17 Thunder Block-III mampu menjalankan pelbagai misi tempur yang menyediakan pilihan penggunaan kuasa udara kontemporari. - Foto BERNAMA
ISLAMABAD: Azerbaijan telah menandatangani kontrak untuk membeli jet pejuang JF-17 Block-III dari Pakistan, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan rasmi pada Khamis.
Pembelian pesawat JF-17 itu "akan memperkukuh keupayaan kuasa udara Azerbaijan," menurut kenyataan pihak Angkatan Tentera Pakistan.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha Islamabad untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara sahabat, menurut kenyataan itu lagi
Perjanjian mengenai JF-17 itu dicapai susulan lawatan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev ke Pakistan pada bulan Julai.
Aliyev telah diberi taklimat mengenai keupayaan tempur dan pelbagai pilihan penggunaan jet pejuang JF-17 Block-III semasa lawatan itu, kata Angkatan Tentera Pakistan.
Pakistan menghantar kontinjen Tentera Udara ke ibu negara Azerbaijan, Baku, untuk menghadiri Pameran Pertahanan Antarabangsa Azerbaijan (ADEX) minggu ini, mempamerkan kehebatan udara dan paparan statik JF-17 Thunder Block-III.
Aliyev melawat paparan statik JF-17 Block-III dan kemudian menyaksikan demonstrasi udara jet pejuang itu, mempamerkan kecekapan dan kemampuan pengendalian pesawat serta profesionalisme juruterbang Angkatan Tentera Pakistan, menurut kenyataan itu.
JF-17 Thunder Block-III mampu menjalankan pelbagai misi tempur yang menyediakan pilihan penggunaan kuasa udara kontemporari.
Tentera Udara Pakistan secara rasmi memasukkan pesawat tempur JF-17 Thunder Block II dua tempat duduk ke dalam kumpulan pesawatnya pada tahun 2020 dan juga melancarkan pengeluaran pesawat tempur berkenaan yang dibangunkan bersama oleh Islamabad dan Beijing.
- BERNAMA
#Azerbaijan #jet pejuang #JF-17 Block-III #jet pejuang Pakistan
;