Azerbaijan konsisten pertahan kepentingan negara Islam - Presiden Aliyev

Bernama
Januari 11, 2025 14:30 MYT
Aliyev menjelaskan bahawa negara Caucasus Selatan itu telah mengambil langkah konsisten untuk memperkukuh perpaduan umat Islam. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Azerbaijan sentiasa menjadi anggota dunia Islam yang dihargai dan ia secara konsisten mempertahankan kepentingan negara Islam dalam semua pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Presidennya Ilham Aliyev.
Aliyev menegaskan bahawa dalam konteks ini, setiap kali pemilihan diadakan untuk jawatan kepimpinan dalam mana-mana organisasi antarabangsa melibatkan calon dari negara Islam, Baku secara automatik mengundi untuk calon itu.
Beliau menjelaskan bahawa negara Caucasus Selatan itu telah mengambil langkah konsisten untuk memperkukuh perpaduan umat Islam, termasuk memupuk rasa hormat terhadap agama Islam di Azerbaijan, mempromosikan hubungan antara agama dan menganjurkan pelbagai acara penting seperti Sukan Solidariti Islam Keempat pada 2017.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 ahli dan menyatukan semua negara Islam, secara konsisten berpandangan positif terhadap Azerbaijan.
Dalam menekankan komitmen antarabangsa Azerbaijan terhadap pelbagai isu dan kebimbangan dunia Islam, Presiden itu berkata Azerbaijan berada di barisan hadapan dalam menangani cabaran yang dihadapi rakyat Palestin.
Menurut beliau selepas kejatuhan rejim Bashar Assad di Syria dan pembentukan kerajaan baharu, Azerbaijan menjadi negara kedua selepas Turkiye yang menawarkan bantuan kemanusiaan, dan delegasi daripada Kementerian Luar Azerbaijan juga baru-baru ini melawat Syria.
"Kami telah memberikan bantuan kepada banyak negara Islam, tetapi kami tidak bermegah mengenainya atau tidak membincangkannya secara terbuka.
"Namun, liputan media yang ada sudah cukup untuk menunjukkan betapa aktifnya kami dalam bidang ini - baik semasa krisis COVID mahupun dalam situasi lain," kata Aliyev dalam temu bual dengan saluran televisyen tempatan baru-baru ini, yang turut membincangkan peranan Azerbaijan yang semakin meningkat di arena antarabangsa.
Petikan temu bual itu dikongsi bersama Bernama oleh Kedutaan Azerbaijan di Kuala Lumpur.
Dalam temu bual itu, Aliyev berkata pendirian negaranya dalam isu Israel-Palestin kekal tidak berubah - ia sentiasa menyokong pembentukan dan kewujudan dua negara.
Presiden itu berkata Azerbaijan telah menyokong negara Palestin selama bertahun-tahun - dari segi politik, moral dan material - dan sokongan ini berterusan, sambil menambah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka akan menamatkan konflik yang berlarutan.
"Kedutaan Palestin telah beroperasi di Azerbaijan selama bertahun-tahun. Kami juga telah membuka pejabat perwakilan di Palestin, dan sudah tentu, lebih cepat konflik ini berakhir dan gencatan senjata diisytiharkan di Gaza, lebih baik untuk semua pihak.
"Kami mengharapkan ini, dan kami juga mengambil kira aktiviti Liga Arab sebagai asas di sini. Kami telah mengambil bahagian secara aktif dalam semua acara OIC dan akan terus berbuat demikian. Dalam erti kata lain, pendirian kami adalah jelas," jelas presiden.
Aliyev menegaskan bahawa Azerbaijan melihat kepentingan semua negara Islam sebagai kepentingan mereka sendiri, "yang mungkin menjadi sebab mengapa Azerbaijan menjadi pilihan pertama selepas keputusan untuk memperluas Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) dibuat."
"Sudah tentu, potensi ekonomi, pengaruh politik dan kekuatan ketenteraan negara kami turut diambil kira. Selain itu, dasar perpaduan Islam kami memainkan peranan dalam keputusan ini.
"Pada masa yang sama, organisasi ini sedang meluaskan jangkauan geografinya. D-8 telah pun meliputi kawasan Caucasus dan Laut Kaspia, dan semakin luas geografi kami, semakin besar peluang kami," katanya.
Azerbaijan diterima sebagai anggota baharu D-8 pada sidang kemuncak ke-11 organisasi itu di Kaherah pada Disember 2024.
Menyedari bahawa Azerbaijan adalah negara pertama yang diterima sebagai anggota berikutan keputusan pertubuhan itu untuk menambah keanggotaan organisasi itu sejak penubuhannya pada 1997, Aliyev berkata daripada kira-kira 60 negara Islam di seluruh dunia, Azerbaijan telah dipilih sebagai ahli terbaharu.
"Ini adalah satu penghormatan besar dan tanggungjawab penting bagi kami. Semua arahan yang diperlukan telah dikeluarkan untuk memastikan Azerbaijan memainkan peranan aktif dalam organisasi ini dan menyumbang secara bermakna kepada aktivitinya," katanya mengenai D-8, yang turut dianggotai Malaysia bersama Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.
Beliau turut menyatakan kekuatan D-8 - ia merangkumi 60 peratus ekonomi negara Islam serta 60 peratus populasi Islam global yang tinggal di negara anggota D-8.
"Ia mewakili peluang besar. Kami tidak boleh melepaskan peluang ini atau membuang masa. Kami menyertai organisasi ini dengan agenda ini dan saya yakin idea serta cadangan kami akan diberi pertimbangan sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#Azerbaijan #Ilham Aliyev #negara Islam #PBB
;