Azerbaijan buktikan kemampuan jamin keamanan, keselamatan - Duta

Bernama
Ogos 21, 2022 17:37 MYT
Davudov berkata menurut deklarasi tiga pihak pada 10 November 2020, wilayah Lachin ialah antara wilayah yang akan menarik balik penempatan pasukan pengaman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Meskipun mengambil masa yang singkat, usaha pembinaan infrastruktur di wilayah Lachin, Azerbaijan dapat memberi peluang penduduk di wilayah itu menikmati kehidupan yang aman, selamat dan harmoni, kata Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov.
Beliau berkata proses pembinaan itu tanpa kehadiran pasukan pengaman Rusia dan melibatkan aktiviti bersama antara penduduk Azerbaijan dan Armenia.
Davudov berkata menurut deklarasi tiga pihak pada 10 November 2020, wilayah Lachin ialah antara wilayah yang akan menarik balik penempatan pasukan pengaman bagaimanapun, sebahagian wilayah ini, termasuk bandar Lachin, dan beberapa kampung kekal di bawah kawalan pasukan pengaman Rusia.
"Menurut kenyataan itu, jalan baharu yang melalui kawasan penempatan itu sepatutnya berada di bawah kawalan Azerbaijan. Kami menyiapkan pembinaan jalan ini dalam tempoh yang singkat dan mahu pemindahan penempatan itu dibuat," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Menyentuh tentang kewajipan Armenia di bawah kenyataan tiga pihak itu, Davudov mendakwa kepimpinan negara masih menghadapi kesukaran memahami realiti sejarah, sosioekonomi dan geopolitik.
Beliau berkata penduduk Armenia perlu memahami perkara itu secepat mungkin demi masa depan Armenia serta untuk pembangunan sosioekonomi dan wilayah Caucasus Selatan secara keseluruhan.
Konflik antara Azerbaijan dan Armenia bermula pada 1988 - tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991 - berikutan tuntutan tidak sah dan tidak berasas Armenia terhadap negara itu.
Dan pada 1992, perang meletus antara dua negara bekas Soviet itu, mengakibatkan pendudukan Armenia di 20 peratus wilayah Azerbaijan yang diiktiraf antarabangsa, termasuk bahagian pergunungan Karabakh dan tujuh daerah sekitarnya, dan juga menyebabkan satu juta penduduk Azerbaijan menjadi pelarian dan pelarian domestik (IDP).
Perang Karabakh Kedua, yang meletus pada 27 Sept 2020, menyaksikan Azerbaijan membebaskan sebahagian besar wilayahnya yang dicerobohi. Kedua-dua negara menandatangani perjanjian dengan Rusia (kenyataan tiga pihak) sebagai perantara pada 10 Nov 2020, untuk menamatkan pertempuran dan berusaha ke arah menandatangani perjanjian damai komprehensif.
Menurut Davudov, langkah-langkah yang diambil Azerbaijan selaras dengan kenyataan itu dan berdasarkan prinsip asas undang-undang antarabangsa
"Meskipun beberapa mesyuarat antara ketua negara dan menteri luar kedua-dua negara telah diadakan dengan banyak negara menjadi pemudah cara, malangnya pelanggaran berterusan Armenia mungkin menyumbang kepada kegagalan untuk mencapai keputusan yang jelas ke arah memperbaiki hubungan," katanya.
-- BERNAMA
#azrbaijan #Duta Azerbaijan ke Malaysia #Irfan Davudov #pembinaan infrastruktur
;