Azan Jumaat bergema secara langsung di New Zealand

Astro Awani
Mac 22, 2019 08:30 MYT
Buat pertama kalinya, laungan azan semasa solat Jumaat disiarkan secara langsung di New Zealand. REUTERS
Buat pertama kalinya, laungan azan semasa solat Jumaat disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan radio nasional New Zealand.
Hadirin yang menghadiri upacara memperingati mangsa serangan pengganas di dua masjid minggu lalu, yang diadakan sebelum solat Jumaat di Hagley Park, di sini, memberi penghormatan dengan berdiam diri sepanjang azan dilaungkan Imam Lateef.
Komuniti dalam kalangan wanita yang berbagai latar belakang dan agama juga menzahirkan solidariti dengan memakai tudung sebagai tanda sokongan kepada umat Islam.
Hagley Park, yang terletak berdekatan Masjid Al Noor, masjid pertama yang diserang pengganas pada 15 Mac lalu, turut dibanjiri lautan komuniti New Zealand, termasuk bukan Muslim, yang mahu mendapatkan kefahaman lebih jelas mengenai agama Islam.
Azan sebelum solat Jumaat yang menandakan masuk waktu Zohor itu dilaungkan kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan, diikuti khutbah Jumaat.
#Islam #mangsa #New Zealand #newzealandberkabung #pengganas #serangan #wanita
;