Ayu nakal main api di bilik solat, akhirnya dipenjara enam bulan
Agensi
Disember 7, 2019 17:29 MYT
Disember 7, 2019 17:29 MYT
Seorang Pegawai Imegresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas dia didapati sengaja menyalakan api dan mencetus kebakaran di beberapa kawasan di tempat kerjanya di Pusat Pemeriksaan Tuas.
Lapor portal berita MediaCorp Singapura, pegawai yang berpangkat sarjan tersebut, Ayu Wandir Sunarno, dijatuhi hukuman itu atas tindakan nakalnya pada tiga hari berturut-turut iaitu pada 5 hingga 7 Julai tahun ini.
Difahamkan, Ayu telah melakukan tindakan nakalnya itu di beberapa kawasan di tempat kerjanya seperti di sebuah tandas serta sebuah bilik solat berdekatan bilik persalinan kakitangan wanita.
Dia menyalakan api di beberapa kawasan berkenaan atas alasan yang aneh - iaitu bagi mengelakkan tabiatnya yang suka bermain api itu diketahui orang lain, dan mahu mengatasi rasa fobianya terhadap kebakaran.
Pada mulanya, Ayu menyalakan api ketika dia ingin memulakan syif malamnya sekitar pukul 9.10 malam pada 5 Julai, di dalam sebuah bilik solat yang berhubung dengan bilik salin bagi kakitangan wanita.
Di situ, dia telah membakar sehelai telekung yang tergantung di dinding bilik solat itu.
Setelah itu, dia berlari keluar meninggalkan bilik berkenaan dan berpura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku.
Beberapa rakan sekerja yang terhidup asap segera memadamkan suis elektrik kerana berfikir bahawa kebakaran itu disebabkan masalah lintar pintas.
Kebakaran itu dipadamkan dengan menyimbah air.
Beberapa jam selepas itu, sekitar jam 3.30 pagi, Ayu sekali lagi bermain dengan api selepas bangun daripada tidur dalam waktu rehatnya pada syif malam itu.
Dia mengulangi tabiatnya dengan membakar sehelai lagi telekung dalam bilik solat berkenaan sebelum melarikan diri.
Dia menyangka bahawa api berkenaan akan terpadam dengan sendiri namun, ia menjadi lebih marak!
Ayu kemudiannya mengejut seorang rakan kerjanya yang sedang tidur dalam bilik solat itu untuk membantunya memadamkan api.
Pada keesokan harinya, Ayu melakukan aksi 'nakalnya' itu sekali lagi dan kali ini semasa waktu rehatnya pada sekitar 12.30 tengah malam.
Dia dilaporkan membakar benang pada sehelai baju-T yang tergantung di dalam tandas berdekatan bilik salin.
Apabila baju-T itu terbakar, Ayu membuang pemetik api yang dia gunakan ke dalam mangkuk tandas, lantas segera baring dan berpura-pura tidur.
Api itu kemudiannya menjadi lebih besar berbanding dua kebakaran sebelumnya, dengan merebak ke baju-baju dan tuala lain di rak tersebut, sekali gus mengaktifkan penggera dan sistem penyembur air hingga membanjiri tandas.
Apabila ditanya oleh para pegawai lain mengenai apa yang berlaku, dia berkata dia sedang tidur dan tidak tahu ada kebakaran dan tidak nampak sesiapa yang masuk ke tandas pada waktu kejadian.
Ayu hanya mengaku dua hari kemudian, setelah semua para pegawai ICA wanita yang bertugas pada waktu kebakaran itu disoal siasat.
Menurut pihak berkuasa, Ayu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atas tuduhan menjadi punca kepada kebakaran.