'Awak perlu tidur, sayang!' - Jacinda Ardern 'diganggu' anak dalam perutusan khas COVID-19 di Facebook

Agensi
November 10, 2021 23:01 MYT
Ketika Ardern sedang fokus memberi perincian tentang kemas kini COVID-19 di New Zealand, suara anak perempuannya, Neve, tiga tahun, kedengaran memanggil ibunya. - Gambar FB/Jacinda Ardern
PERDANA Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berdepan episod mencuit hati ketika menyampaikan perutusan khas berhubung perkembangan COVID-19 di platform Facebook peribadinya, pada Rabu.
Ketika Ardern sedang fokus memberi perincian tentang kemas kini COVID-19 di New Zealand, suara anak perempuannya, Neve, yang berusia tiga tahun, kedengaran memanggil ibunya.
Mummy,” kata Neve.
“Awak perlu tidur, sayang,” balas Ardern, dalam nada memujuk sambil berkata kepada anaknya bahawa neneknya akan membantu menidurkannya semula.
“Ini waktu tidur anda… kembali ke tempat tidur, ibu akan berjumpa kamu sekejap lagi,” katanya.
Ardern sekali memujuk anaknya untuk kembali kepada neneknya, sebelum meneruskan perutusan khasnya.
“Itu adalah kegagalan waktu tidur, bukan?,” katanya kepada lebih 400,000 penonton yang menonton penstriman langsung berkenaan.
Neve, pula seolah-olah tidak mahu ‘mengalah’. Beberapa ketika kemudian, suara Neve kedengaran semula memanggil ibu kesayangannya itu.
“Maafkan ibu, sayang, nampaknya ini mengambil lebih masa,” kata Ardern kepada Neve, sebelum mengundur diri dan menamatkan ucapannya.
Kedai dan kompleks beli belah di Auckland sudah mula dibuka mulai hari ini (10 November) selepas bandar raya berkenaan dilaporkan mencatat angka COVD-19 tertinggi.
Sektor hospitaliti di masih ditutup setakat ini, dan media tempatan melaporkan sektor berkenaan akan dibuka selepas bandar raya itu mencapai kadar vaksinasi yang ditetapkan kerajaan.
#New Zealand #Jacinda Ardern #Neve #Penstriman langsung di Facebook
;