Austria mahu henti sistem pemanasan gas di bangunan baharu mulai 2024
Bernama
Oktober 18, 2023 20:56 MYT
Oktober 18, 2023 20:56 MYT
VIENNA: Kerajaan Austria pada Selasa mengumumkan cadangan untuk mengharamkan pemasangan sistem pemanasan gas di bangunan baharu mulai tahun depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bagaimanapun, cadangan Renewable Heat Package itu perlu mendapat kelulusan Parlimen, dengan majoriti dua pertiga termasuk undi daripada pihak pembangkang.
Pemilik sistem pemanasan gas di bangunan sedia ada tidak diwajibkan untuk menggantikan sistem sedia ada.
Kerajaan telah mengumumkan insentif untuk menghentikan pemanasan gas secara berperingkat, dengan peruntukan sebanyak EUR1 bilion (AS$1.1 bilion).
Selain itu, kerajaan merancang menggantung cukai jualan untuk sistem fotovolta untuk 2024 dan 2025.
Pada September, Jerman meluluskan Building Energy Act yang juga dikenali sebagai Heating Act yang menetapkan bahawa semua sistem pemanasan baharu perlu dikuasakan oleh sekurang-kurangnya 65 peratus tenaga boleh baharu.
Undang-undang itu berkuat kuasa pada awal tahun 2024 dan terpakai untuk bangunan baharu, manakala bagi bangunan sedia ada, sistem perlu ditukar secara berperingkat.
-- BERNAMA