Australia usir dua diplomat Rusia, beri bayangan boikot Piala Dunia 2018
Agensi
Mac 27, 2018 15:01 MYT
Mac 27, 2018 15:01 MYT
Australia bakal mengusir dua pegawai diplomat Rusia sebagai susulan terhadap serangan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia di Salisbury, England, kata Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.
"Australia turut serta bersama United Kingdom (UK) dan sekutu serta rakan-rakan yang lain dalam mengambil tindakan menghalau pegawai diplomat Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan agen saraf baru-baru ini di Salisbury, UK.
"Dua diplomat Rusia yang dikenal pasti sebagai pegawai perisikan akan diusir oleh kerajaan Australia atas tindakan yang tidak konsisten dengan status mereka seperti yang diwarta dalam Konvensyen Vienna," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu, Menteri Luar Negeri Australia Julie Bishop antara langkah lain yang turut dipertimbangkan termasuk memboikot Piala Dunia 2018 di Rusia nanti.
"Pelbagai tindakan lanjut boleh diambil berikutan kejadian tersebut, antaranya memboikot Piala Dunia yang akan berlangsung di Moscow," katanya kepada wartawan di Canberra.
Australia bersama-sama mengikuti langkah menghukum Kremlin dengan menghalau pegawai diplomat seperti yang telah dilakukan di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Kerajaan AS berkata pada Isnin bahawa pihak mereka akan menghalau sebanyak 60 pegawai diplomatik Rusia berikutan serangan terbabit.
Secara keseluruhannya, sebanyak 100 pegawai diplomatik Rusia telah diusir dan merupakan pengusiran pegawai diplomatik Rusia yang terbesar dilakukan sejak Era Perang Dingin.
Pengusiran secara besar-besaran itu dilakukan susulan kejadian serangan agen saraf ke atas bekas pegawai perisikan tentera Rusia, Sergei Skripal, 66 tahun, dan anak perempuannya Yulia, 33 tahun pada awal Mac.
#agen saraf
#Australia
#boikot
#malcolm turnbull
#pegawai diplomatik
#Piala Dunia 2018
#Rusia
#serangan
#United Kingdom
#usir