Australia tuduh Putin sorok pembunuh, minta Rusia serah tiga lelaki tembak jatuh MH17

Astro Awani
November 18, 2022 11:15 MYT
Wong turut memberi amaran bahawa dunia tidak akan melupakan keputusan mahkamah bahawa Rusia dan dua rakyatnya bertanggungjawab ke atas tragedi yang menimpa MH17. -Gambar fail/Bernama
CANBERRA: Menteri Luar Australia menuduh Presiden Rusia Vladimir Putin "melindungi pembunuh" dan menggesa Rusia menyerahkan tiga lelaki yang didapati bersalah kerana menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada tahun 2014.
"Dunia tahu anda menyembunyikan pembunuh dan itu jelas menunjukkan sikap anda, Putin," kata Penny Wong pada Jumaat.
Wong turut memberi amaran bahawa dunia tidak akan melupakan keputusan mahkamah bahawa Rusia dan dua rakyatnya bertanggungjawab ke atas tragedi yang menimpa MH17, lapor The Guardian.
Katanya lagi, dunia sedia maklum ketiga-tiga lelaki itu "membunuh 298 mangsa" dan mereka akan "kekal dalam senarai Interpol dan tiada apa pun yang akan menghapuskan hukuman itu."
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan mahkamah Belanda yang mendapati warga Rusia, Igor Girkin dan Sergey Dubinskiy serta Leonid Kharchenko dari Ukraine bersalah kerana menembak jatuh pesawat malang tersebut dan membunuh kesemua penumpang dan kru.
Tragedi MH17 | Tiga disabit kesalahan, seorang dibebaskan
“Saya ingin beritahu semua ahli keluarga dan rakan-rakan bahawa kami memahami kesedihan yang tidak terduga ini.
"Kami tahu anda telah menunggu lama untuk memperoleh keadilan.
“Keputusan ini penting kerana mereka mengesahkan kebenaran, bahawa lelaki ini bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan awam.
"Ia juga mengesahkan penglibatan Rusia … (di mana) kumpulan pemisah mendapat arahan dari Rusia... Rusia membekalkan latihan, senjata dan wang.
"Jadi, walaupun saya tahu ia tidak dapat mengurangkan kesedihan kehilangan orang tersayang, namun kebenaran akhirnya terserlah," kata Wong kepada Radio National.
Tragedi MH17 | Rusia akan periksa keputusan Mahkamah Belanda
BACA: Pesawat MH17 ditembak jatuh peluru berpandu buatan Rusia - Mahkamah Belanda
BACA: Tragedi MH17: Tiga disabit kesalahan, seorang lagi didapati tidak bersalah
BACA: Waris mangsa MH17 akur keputusan Mahkamah Belanda, harap pelaku dihukum
BACA: MH17: Dua warga Rusia, seorang warga Ukraine dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh peluru berpandu 'darat-ke-udara' Rusia ketika ia terbang melintasi timur Ukraine pada 2014, mengorbankan 298 orang, antaranya 38 warga Australia.
#MH17 #Malaysia Airlines #Vladimir Putin #Peggy Wong
;