Australia terbakar, tersebar bahang, rakyat berang
Razak Chik
Januari 12, 2020 20:54 MYT
Januari 12, 2020 20:54 MYT
PERDANA Menteri Scott Morrison secara terbuka mengakui menyesal kerana gagal menangani malapetaka kebakaran dengan memuaskan hingga menimbulkan serangan peribadi terhadap dirinya kalangan rakyat Australia.
Morrison turut mengakui tidak sepatutnya bercuti di Hawaii pada waktu kebakaran memuncak pada Disember, walaupun tindakan itu sudah tentu akan mengecewakan keluarganya kerana itulah satu-satunya percutian yang dirancang setelah setahun melakukan tugasan rasmi.
Pengakuan itu dibuat Morrison ketika ditemu bual David Speers dalam rancangan ABC Insiders di Canberra pada Ahad.
Beliau memberitahu Speers, sebuah Suruhanjaya Diraja bakal ditubuh bagi membincangkan hal kebakaran yang sudah berlaku agar Australia dapat mendepani situasi yang sama pada masa hadapan.
Setakat ini, seramai 28 orang terkorban dalam kebakaran yang melanda Australia sejak September.
Morrison dilempar kritikan teruk ekoran pendirian peribadinya berserta kerajaannya yang dilihat sebagai tidak peka terhadap punca pemanasan dunia dan usaha Australia sendiri yang dianggap tidak mesra alam.
Semasa 'turun padang' ke bandar Corbargo di New South Wales pada Disember, seorang wanita mangsa kebakaran mengeluarkan kata-kata kesat dan memanggil Morrison 'bodoh' (idiot). Wanita itu turut menyebut, Morrison pasti tidak akan menerima undi daripadanya.
Bercakap kepada Speers, Morrison menyatakan sedikit terkilan dengan reaksi negatif serta tohmahan yang dilempar kepadanya ketika turun padang cuba memberi semangat kepada mangsa.
Beliau mengaku, sepatutnya dia bertindak sedikit berbeza apabila berada dalam situasi di mana mangsa yang ditemuinya berang dengannya secara peribadi.
Dalam lawatan tersebut, ramai penduduk tempatan di New South Wales dan Victoria memberi sambutan 'hangat' kepadanya selain dari wanita di Corbargo yang meluas tersebar.
Beliau secara terbuka dicemuh dan diherdik kerana sebelum ini tegas menafikan bahawa pelepasan karbon menjadi punca peningkatan haba dunia, dan ini turut memberi kesan kepada kebakaran yang teruk melanda Australia.
Morrison juga turut ditanya sama ada kerajaan akan mengubah sasaran pelepasan karbon negara menjelang 2030 agar lebih ketat.
Mengikut dasar yang ada, Australia menetapkan merendahkan pelepasan karbon antara 26 hingga 28 peratus di bawah sasaran yang ditetapkan pada 2005.
Menjawab, Morrison mendedahkan Kabinet akan terus menggubal dasar bukan sahaja untuk menetapi sasaran malah memperbaikinya.
Beliau turut mencadang penglibatan anggota tentera yang melebih meluas dalam memadam kebakaran.