Australia terbakar, peta tersebar.. Pantai menyala, kurang tepat berita

Razak Chik
Januari 8, 2020 00:57 MYT
Imej peta yang menunjukkan Australia seolah-olah mengalami kebakaran di seluruh benua ini tersebar luas di media sosial namun ia kurang tepat. - Facebook: Anthony Hearsey - Creative Imaging
BAGI sesiapa yang mengikuti perkembangan malapetaka kebakaran yang sedang melanda Australia, sedikit peringatan – jangan terlalu bergantung kepada imej dan peta yang tersebar luas kerana lakaran yang terpampang kurang tepat dan bukan memberi gambaran sebenar.
Dalam zaman penyebaran maklumat dan berita sepantas kilat dari pelbagai sumber, gambar rajah yang kononnya menunjukkan lokasi kebakaran langsung tidak tepat dan mengelirukan jika tidak diteliti mengikut konteks yang bersesuaian.
Salah satu peta kebakaran yang tular menggunakan ikon simbol api bertaburan di hampir kesemua pelosok benua Australia. Ini memberi gambaran seolah-olah satu benua sedang terbakar dan kawasan pantai seolah olah merah menyala dan tidak terkawal membara.
Imej ini digunakan meluas di laman Twitter, termasuk penyanyi Amerika Rihanna apabila membuat komen simpati kepada mangsa.

devastating. #Australia pic.twitter.com/VB2cziPXux

— Rihanna (@rihanna) January 6, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Peta yang dipapar Rihanna itu sebenarnya hasil lakaran pelukis Anthony Hearsey yang menggunakan data terkumpul selama sebulan di mana kebakaran dikesan – bukan seolah-olah satu benua sedang terbakar.
Namun usaha 'pemetaan’ ini tidak wajar dianggap sia sia kerana sedikit sebanyak dapat menimbul minat mengenal geografi dunia.
Terdapat beberapa usaha individu 'menampal’ peta benua Australia ke peta benua Eropah dan Amerika Utara bagi tujuan memberi sedikit gambaran perbandingan saiz dan betapa besar bala yang menimpa Australia.
Walaupun metodologi ini tidak berasaskan mana mana prinsip geografi mahupun fizik dan tidak wajar diterima sebagai fakta tepat, namun usaha ini dapat sedikit sebanyak memberi kesedaran betapa luas benua Australia.
Kalangan komuniti selebriti, pelakon Chris Hemsworth sekeluarga menyumbang AUS$1 juta sementara penyanyi Elton John turut menderma jumlah yang sama bagi membantu usaha pemulihan dari kebakaran.
Sementara itu, Malaysia turut bersedia menghulur bantuan setelah kerajaan meluluskan cadangan menghantar misi bantuan padam kebakaran Australia.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, satu pasukan seramai 65 orang terdiri dari 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 22 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia untuk menjalankan tugas memadam.
Misi yang diselaraskan oleh dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dengan anggaran kos RM2.1 juta bagi jangkaan tempoh dua minggu.
Pasukan ini sedang menunggu kata putus dari kerajaan Australia dan nasihat keselamatan daripada Kementerian Luar Negeri dan kedutaan besar Malaysia sebelum digerakkan.
#Australia #Chris Hemsworth #Elton John #kebakaran hutan
;