Australia tamatkan keperluan isolasi wajib COVID-19 pada 14 Okt
Bernama
September 30, 2022 22:36 MYT
September 30, 2022 22:36 MYT
ANKARA: Australia pada Jumaat mengumumkan negara itu akan menamatkan keperluan isolasi mandatori COVID-19 pada 14 Oktober.
Perdana Menteri Anthony Albanese membuat pengumuman itu selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikannya, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan rasmi.
"Para menteri bersetuju untuk menamatkan keperluan isolasi mandatori untuk COVID-19 berkuat kuasa 14 Okt, dengan setiap pihak pelaksana akan membuat perubahan terhadap perundangan kesihatan awam yang berkaitan," kata pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan itu.
Kabinet juga bersetuju untuk menamatkan Bayaran Cuti Bencana Pandemik pada tarikh yang sama.
Bagaimanapun, bantuan kewangan akan terus disediakan kepada pekerja kasual di pusat penjagaan warga emas, penjagaan orang kurang upaya, penjagaan kesihatan Orang Asli dan penjagaan hospital.
Pada sidang akhbar di ibu negara Canberra, Ketua Pegawai Perubatan Paul Kelly, berkata wabak itu belum berakhir dan peningkatan jangkitan virus itu di masa depan, seperti yang berlaku di Australia awal tahun ini, mungkin berlaku.
"Kami berada dalam fasa penularan wabak komuniti yang sangat rendah di Australia," katanya, sambil menambah bahawa ini sama sekali tidak membayangkan bahawa wabak itu telah berakhir.
"Bagaimanapun, pada masa ini, kadarnya sangat rendah bagi kes kemasukan ke hospital, kemasukan ke unit rawatan rapi, penularan di pusat penjagaan warga emas, dan pelbagai langkah lain yang kami pantau teliti, dan dimuatkan dalam laporan terbuka mingguan kami," katanya kepada pemberita.
-- BERNAMA