Australia permudah syarat menjadi warganegara bagi rakyat New Zealand
Agensi
April 22, 2023 05:30 MYT
April 22, 2023 05:30 MYT
KERAJAAN Australia mengumumkan akan mempermudahkan ratusan ribu rakyat New Zealand yang tinggal di negara itu untuk menjadi warganegaranya.
Menurut laporan BBC News, berkuat kuasa 1 Julai depan, mana-mana rakyat New Zealand boleh memohon menjadi rakyat Australia sekiranya mereka sudah tinggal selama empat tahun atau lebih dan tiba di negara itu selepas tahun 2001
Bahkan, syarat lain yang dipermudahkan ialah mereka juga tidak perlu lagi mengemukakan permohonan ‘penduduk tetap’ seperti sebelum ini untuk memenuhi syarat kewarganegaraan.
New Zealand telah memperjuangkan kempen reformasi syarat ketat pengeluaran visa sejak tahun 2001 lagi.
Pengumuman terbaharu Australia itu dibuat Perdana Menterinya, Anthony Albanese pada hari Sabtu iaitu sehari sebelum kunjungan rakan sejawatannya dari New Zealand, Chris Hipkins.
"Kami tahu ramai rakyat New Zealand yang berada di sini (Australia) dengan memegang visa khusus dalam masa sama membesarkan keluarga mereka, bekerja dan membangunkan kehidupan di Australia.
“Justeru, saya dengan bangganya menawarkan manfaat yang ditawarkan kepada warganegara" kata Albanese dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dianggarkan sekitar 350,000 rakyat New Zealand yang menetap di Australia ketika ini.
Dalam perkembangan sama, Chris Hipkins dari New Zealand yang dijadualkan berkunjung ke Brisbane hari ini menyambut baik pengumuman yang dibuat Australia dengan menyifatkannya sebagai "perubahan terbesar dalam hak warga New Zealand yang tinggal di Australia dalam satu generasi."
Pengumuman terbaharu itu juga sekali gus, katanya, “memulihkan hak yang dimiliki oleh warga New Zealand di Australia sebelum dibatalkan pada tahun 2001," jelas Hipkins dalam reaksinya.
New Zealand telah lama menuntut perubahan ini sejak aturan visa untuk warganya yang tinggal di Australia diperketat lebih dua dekad lalu.
Pada tahun 2001, Australia memperkenalkan visa kategori khusus yang membataskan akses warga New Zealand ke atas beberapa manfaat antaranya kesihatan dan sokongan kebajikan.
Rakyat New Zealand juga perlu mengemukakan permohonan ‘penduduk tetap’ sebelum mencari peluang sebagai warganegara iaitu satu proses yang panjang dan menelan kos yang sangat tinggi.