Australia naikkan tahap ancaman keganasan selepas terima maklumat perisikan

Bernama
Ogos 5, 2024 06:30 MYT
Albanese berkata Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC) memutuskan untuk menaikkan tahap ancaman berkenaan selepas menerima taklimat daripada Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO). - Gambar/ Reuters
CANBERRA: Australia menaikkan tahap ancaman keganasannya daripada "mungkin berlaku" kepada "kemungkinan besar akan berlaku", umum Perdana Menteri Anthony Albanese.
Bercakap pada sidang media di sini pada Isnin, Albanese berkata Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC) memutuskan untuk menaikkan tahap ancaman berkenaan selepas menerima taklimat daripada Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) dalam satu mesyuarat sebelum itu.
Beliau berkata keputusan itu didorong oleh peningkatan dalam radikalisasi belia, radikalisasi dalam talian, dan peningkatan ideologi campuran baharu, lapor Xinhua.
"Saya ingin meyakinkan rakyat Australia bahawa 'kemungkinan besar akan berlaku' tidak bermakna 'tidak dapat dielakkan' dan ia juga tidak bermaksud terdapat risikan mengenai ancaman atau bahaya yang akan berlaku tetapi nasihat yang kami terima ialah lebih ramai rakyat Australia menerima pelbagai ideologi ekstrem dan menjadi tanggungjawab kita untuk berwaspada," katanya.
Ketua pengarah ASIO Mike Burgess berkata agensi itu telah menyekat lapan kemungkinan insiden keganasan sejak April dan memberi amaran bahawa serangan itu berkemungkinan dilakukan oleh individu atau sel kecil pengganas menggunakan taktik dan senjata mudah di tempat awam yang sesak.
"Lebih ramai rakyat Australia yang sanggup menggunakan keganasan untuk memperjuangkan tujuan mereka. Ini termasuk protes ganas, rusuhan, dan serangan terhadap ahli politik atau institusi demokrasi," katanya pada sidang media Isnin.
Burgess berkata konflik yang berterusan di Gaza bukanlah penyebab utama kenaikan tahap ancaman keganasan tetapi ia merupakan faktor yang signifikan.
Tahap ancaman keganasan diturunkan kepada "mungkin berlaku" pada November 2022 - lapan tahun selepas kali terakhir ia dinaikkan kepada "kemungkinan besar akan berlaku" pada 2014 dengan kemunculan kumpulan IS.
-- BERNAMA
#Australia #ancaman keganasan #Gaza #Anthony Albanese