Australia, Malaysia, Indonesia cuba sistem pengesan pesawat terbaharu

AFP
Mac 1, 2015 13:08 MYT
Australia sedang menjalankan ujian percubaan sebuah sistem yang dapat meningkatkan keberkesanan tahap pengesanan pesawat di dasar laut.
Australia pada Ahad dilapor sedang menjalankan ujian percubaan sebuah sistem yang dapat meningkatkan keberkesanan tahap pengesanan pesawat pada kedalaman yang lebih jauh di dasar lautan.
Percubaan sistem pengesanan "pertama di dunia" ini dilakukan bersama Malaysia dan Indonesia bertujuan membolehkan pihak berkuasa segera bertindak balas terhadap situasi tidak normal, seperti dalam kes kehilangan pesawat MH370.
Sistem ini membolehkan kadar pengesanan minimum untuk pesawat yang terbang di lautan terpencil kepada 15 minit berbanding sela masa 30 hingga 40 minit sekarang.
Teknologi ini "boleh meningkatkan pemantauan masa sebenar sekiranya berlaku situasi yang tidak normal," kata Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss.
"Dalam percubaan yang pertama di dunia ini, ketiga-tiga negara akan mencuba satu kaedah baharu mengesan pesawat di kawasan lautan yang terpencil," kata Truss lagi.
"Inisiatif ini mengadaptasi teknologi sedia ada yang digunakan lebih 90 peratus daripada pesawat penumpang jarak jauh dan akan menyaksikan kawalan trafik udara mampu bertindak balas dengan lebih pantas sekiranya pesawat berdepan kesukaran atau menyimpang daripada pelan penerbangan asalnya."
Pengumuman itu dibuat setelah hampir setahun pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang pada Mac tahun lepas.
#Australia #dasar lautan #Indonesia #Malaysia #pengesanan #percubaan
;