Australia mahu tingkatkan penglibatan ekonomi dengan ASEAN - Penny Wong

Bernama
Mac 2, 2023 04:36 MYT
Penny berkata Australia mahu memperdalam hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rantau ini dan menerusi penglibatan dengan pemimpin serta rakyat di Asia Tenggara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Australia akan melancarkan Strategi Ekonomi Asia Tenggara pada akhir tahun ini yang bertujuan untuk memaksimumkan penglibatan dan potensi ekonomi dengan negara-negara di rantau ini, kata Menteri Luar Penny Wong.
Beliau berkata Australia mahu memperdalam hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rantau ini dan menerusi penglibatan dengan pemimpin serta rakyat di Asia Tenggara, pembangunan ekonomi dilihat menjadi keutamaan.
"Antara perkara yang saya sangat beri tumpuan utama apabila kita menjadi kerajaan adalah untuk melihat bagaimana kita boleh memaksimumkan penglibatan ekonomi kita dengan rantau ini.
"Anda tahu, kami bukan Jepun atau Amerika Syarikat atau China, kami bukan ekonomi yang besar tetapi apa yang saya persoalkan ialah adakah kita sudah melakukan sebanyak mungkin dari segi penglibatan ekonomi?," katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata utusan khas Australia untuk Asia Tenggara Nicholas Moore telah ditugaskan mengetuai perundingan dan penglibatan dengan perniagaan, kerajaan dan pihak berkepentingan untuk merangka strategi berkenaan.
Strategi itu akan menetapkan laluan bagi mengukuhkan penglibatan ekonomi, meningkatkan perdagangan dua hala serta mengembangkan pelaburan Australia di rantau ini.
Jumlah dagangan dua hala Australia dengan negara-negara di ASEAN ialah A$127 bilion (RM384.3 bilion) pada 2021, menyumbang hampir 14 peratus daripada keseluruhan perdagangan Australia.
-- BERNAMA
#Australia #ASEAN #Penny Wong #Strategi Ekonomi Asia Tenggara