Australia mahu haramkan pembawa ideologi ekstremis
Astro Awani
Oktober 9, 2014 08:45 MYT
Oktober 9, 2014 08:45 MYT
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam menyatakan bahawa usaha sedang dilakukan untuk mengharamkan penghasut kebencian antara kaum memasuki negara itu demi melindungi rakyatnya daripada ideologi yang ‘asing dan ekstremis’.
Pengumuman dari pejabat Abbot itu tercetus gara-gara kumpulan radikal Hizb ut-Tahrir yang mahu menganjurkan sebuah syarahan awam bertajuk “The War to End a Blessed Revolution” di Sydney pada Jumaat.
Abbott member amaran, sesiapa yang mahu menimbulkan kekacauan tidak akan diterima di Australia.
“Selama ini, sudah banyak pihak yang masuk ke negara ini untuk mencetuskan kekacauan seterusnya melaga-lagakan sesama rakyat Australia. Ini harus dihalang.
“Bagi orang luar yang mahu masuk ke negara ini untuk mengobarkan ideologi ekstrem mereka hingga menimbulkan kacau ganggu, tidak perlulah membuat permohonan untuk memasuki Australia,” tegas beliau.
Hizb ut-Tahrir diharamkan di banyak negara tetapi tidak di Australia. Undang-undang baharu akan diperkenalkan pada akhir tahun ini bagi menguatkuasakan larangan ‘mempromosi keganasan’ di Australia. Sejurus undang-undang tersebut digubal, pergerakan bebas Hizb ut-Tahrir akan dinilai sekali lagi.
Syarahan awam berkenaan mendakwa pihak AS sengaja campur tangan dalam revolusi Syria dengan menceroboh Iraq.
Hizb it-Tahrir melalui risalahnya menyatakan, Amerika sedang merancang sebuah lagi peperangan dengan menghimpunkan sekutunya untuk menyerang revolusi Syria dan selama ini campur tangan di Iraq adalah sebagai helah terbaik untuk berbuat demikian.
Jurucakapnya, Uthman Badar yang mengecam usaha polisi luar itu, menuduh Abbot cuba menghapuskan pihak yang mempunyai perbezaan pendapat dalam politik.