Australia lulus vaksin Pfizer, kempen vaksinasi dijangka bermula akhir Februari

Astro Awani
Januari 25, 2021 08:12 MYT
Warga Australia akan menerima vaksin COVID-19 pertama mereka pada akhir bulan Februari setelah kerajaan meluluskan penggunaan vaksin keluaran Pfizer. -Gambar fail/Reuters
CANBERRA: Warga Australia akan menerima vaksin COVID-19 pertama mereka pada akhir bulan Februari setelah kerajaan meluluskan penggunaan vaksin keluaran Pfizer.
Menurut kenyataan Menteri Kesihatannya, vaksin Pfizer diberikan kelulusan sementara oleh Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA) selepas genap setahun kes COVID-19 pertama disahkan di Australia.
Kerajaan berhasrat melaksanakan kempen vaksinasi sebanyak 10 juta dos Pfizer yang pertama pada pertengahan Februari, tetapi itu ditangguhkan susulan isu pengeluaran dan penghantaran, lapor The Australian.
Ia berkemungkinan ditangguh ke awal Mac namun Perdana Menteri Scott Morrison berkata rakyatnya harus yakin dengan proses kelulusan Australia yang begitu teliti.
"Australia sengaja mengambil masa, kita melihat dan belajar daripada pengalaman di negara luar.
"Kita masih berada dalam jangka waktu yang ditetapkan beberapa minggu lalu, tetapi ia akan kekal memberikan cabaran membabitkan keadaan yang wujud di luar negara kita," katanya kepada wartawan pada Isnin.
Vaksin Pfizer diluluskan penggunaannya untuk warga Australia berusia 16 tahun dan ke atas.
Mereka yang berada dalam kelompok utama -- termasuk warga tua, pekerja rumah jagaan warga tua, dan pekerja kesihatan -- akan menjadi orang pertama menerima suntikan itu.
#Australia #vaksin COVID-19 #Pfizer #kempen vaksinasi #Scott Morrison #warga tua #pekerja rumah jagaan #Pekerja kesihatan
;