Australia lulus vaksin Novavax hadapi gelombang Omicron
Bernama
Januari 24, 2022 21:18 MYT
Januari 24, 2022 21:18 MYT
CANBERRA: Australia meluluskan penggunaan vaksin Novavax untuk individu berumur 18 tahun ke atas pada Isnin, menjadikannya vaksin COVID-19 keempat selepas AstraZeneca, Moderna dan Pfizer.
Kumpulan Penasihat Teknikal Australia mengenai Imunisasi (ATAGI) telah mengesyorkan dua dos vaksin Novavax dengan selang masa sekurang-kurangnya tiga minggu antara dua dos berkenaan, menurut Xinhua.
Kerajaan telah memesan sebanyak 51 juta dos vaksin COVID-19 Novavax untuk kegunaan pada Februari, kata Menteri Kesihatan Greg Hunt.
"Kita akan memulakan program itu pada minggu 21 Feb," katanya kepada pemberita pada Isnin.Australia pada Isnin melaporkan lebih daripada 40,000 jangkitan komuniti dan 58 kematian - 24 di New South Wales, 17 di Victoria, 13 di Queensland dan masing-masing dua di Australia Selatan dan ibu negara Australia, menurut angka jabatan kesihatan negeri dan wilayah.
Hunt berkata terdapat tanda-tanda gelombang jangkitan Omicron di Australia telah meningkat di beberapa kawasan, dengan kadar kemasukan ke hospital dilihat stabil.
"Jadi, ini detik penting di mana kita melihat, tanda-tanda jelas bahawa gelombang Omicron, sekurang-kurangnya di New South Wales, Victoria, dan ACT telah memuncak," katanya.
Mulai Isnin, berjuta-juta penerima bantuan kebajikan layak menerima ujian antigen pantas (RAT) secara percuma.
-- BERNAMA