Australia lulus undang-undang wajibkan Google, Facebook bayar kandungan berita

Reuters
Februari 25, 2021 12:50 MYT
Kerajaan Australia gembira melihat Google dan Facebook mencapai perjanjian komersial dengan media negara itu. - REUTERS
Parlimen Australia pada Khamis meluluskan undang-undang kuasa rundingan platform digital dan syarikat berita yang akan mewajibkan Google dan Facebook membayar syarikat media untuk sebarang kandungannya.
Undang-undang itu akan dikaji semula dalam masa satu tahun selepas ia diperkenalkan, kata Bendahari, Josh Frydenberg dan Menteri Komunikasi, Paul Fletcher dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di Sydney.
"Undang-undang itu akan memastikan syarikat media diberi bayaran sewajarnya untuk kandungan yang mereka hasilkan, membantu mempertahankan kepentingan umum kewartawanan di Australia," kata mereka.
Undang-undang itu diluluskan susulan analisis menyeluruh penguasa undang-undang dan perundingan awam yang berjalan selama hampir tiga tahun.
Ia dapat memberikan dorongan kepada negara-negara lain seperti Britain dan Kanada yang sedang dalam proses merancang undang-undang serupa.
Negara-negara lain telah memperkenalkan undang-undang yang memaksa firma teknologi besar berunding dengan syarikat media mengenai yuran pelesenan untuk pautan yang menarik ramai pembaca dan meraih pendapatan melalui iklan, ke platform mereka.
Undang-undang baharu itu menjadikan Australia negara pertama yang membolehkan perunding kerajaan menetapkan harga yang harus dibayar oleh syarikat teknologi sekiranya rundingan dengan syarikat media gagal.
Frydenberg dan Fletcher berkata, kerajaan Australia gembira melihat Google dan Facebook mencapai perjanjian komersial dengan media negara itu.
Facebook minggu lalu telah menghentikan berita di Australia susulan ketegangan dalam rundingan dengan kerajaan.
#Australia #undang-undang #Facebook #Google #Parlimen #kerajaan #kuasa rundingan #syarikat media #syarikat berita #berita #bayaran #kandungan
;