Australia kenakan sekatan ke atas Iran, Rusia atas pelanggaran hak asasi manusia

Agensi
Disember 10, 2022 16:44 MYT
Australia juga mengenakan sekatan kewangan yang disasarkan ke atas tiga warga Iran dan satu perniagaan Iran. - Gambar fail/Bernama
SYDNEY: Australia akan mengenakan sekatan ke atas Rusia dan Iran sebagai tindak balas terhadap apa yang disebut sebagai pelanggaran hak asasi manusia yang kejam.
Menteri Luar, Penny Wong dalam satu kenyataan berkata, Australia mengenakan sekatan gaya Magnitsky ke atas 13 individu dan dua entiti, termasuk Polis Moral Iran dan Pasukan Penentang Basij, serta enam warga Iran yang terlibat dalam tindakan keras terhadap protes yang dicetuskan oleh kematian lelaki berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika dalam tahanan pada September.
Wong berkata sekatan dikenakan terhadap Seyed Sadegh Hosseini, yang disifatkannya sebagai komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran. Dia telah disenaraikan atas dakwaan peranannya dalam keganasan secara melulu terhadap penunjuk perasaan.
"Sikap rejim Iran yang terang-terangan tidak menghiraukan hak asasi rakyatnya sendiri telah mengejutkan Australia, dan pelaku mesti bertanggungjawab," kata Wong pada Sabtu.
Tujuh rakyat Rusia yang terlibat dalam apa yang dikatakan sebagai cubaan membunuh bekas ketua pembangkang, Alexei Navalny, juga akan dikenakan sekatan hak asasi manusia, kata Wong dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama Timbalan Menteri Luar, Tim Watts.
Selain sekatan hak asasi manusia, Australia juga mengenakan sekatan kewangan yang disasarkan ke atas tiga warga Iran dan satu perniagaan Iran kerana membekalkan dron ke Rusia untuk digunakan untuk menyerang Ukraine.
"Pembekalan dron ke Rusia adalah bukti peranan Iran dalam menjejaskan kestabilan keselamatan global. Penyenaraian ini menyerlahkan bahawa mereka yang memberikan sokongan material kepada Rusia akan menghadapi akibatnya," katanya lagi.
#Australia kenakan sekatan #pelanggaran hak asasi manusia #Iran #Rusia
;