Australia hantar bantuan mangsa banjir di Myanmar
Bernama
Ogos 11, 2015 10:53 MYT
Ogos 11, 2015 10:53 MYT
Australia telah menghantar kira-kira 1,000 unit kit keperluan keluarga dari Depot Respons Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRD) di Kuala Lumpur ke Yangon, Myanmar untuk mangsa banjir dan tanah runtuh, pada Isnin.
Barangan itu terdiri daripada set dapur, selimut, pakaian, kelambu, kit kebersihan dan peralatan sekolah akan diagihkan kepada keluarga oleh World Vision and International Organisation for Migration, kata Pengurus Depot UNHRD Kuala Lumpur, Belkacem Benzaza dalam satu kenyataan.
"Penghantaran bantuan kemanusiaan ini menunjukkan kerjasama kukuh antara Australia, UNHRD dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre), bekerjasama untuk menghulurkan bantuan yang sangat diperlukan secara selaras, cekap dan tepat pada masanya," katanya.
Beliau berkata Ahad, sebuah pesawat C-17 dari Pasukan Pertahanan Australia berlepas dari pangkalan tentera Australia di Darwin ke Kuala Lumpur untuk memuatkan barang-barang bantuan yang terlebih dahulu ditempatkan di gudang UNHRD.
"Pesawat kedua dijangka tiba pada hari-hari akan datang dengan membawa baki bekalan bantuan Australia termasuk bot, tarpaulin dan kelambu untuk Pusat AHA," katanya.
Hujan lebat monsun dan tanah runtuh di Myanmar Khamis lepas telah menjejaskan lebih 330,000 mangsa dan mengorbankan sekurang-kurangnya 88 orang di Myanmar, iaitu banjir paling buruk sejak beberapa dekad ini, katanya.