Australia: Gaya hidup tidak sihat dalam usia 60-an berisiko dimasukkan ke rumah penjagaan - Kajian

Bernama
Ogos 25, 2023 07:30 MYT
Satu kajian baharu yang diketuai oleh penyelidik dari University of Sydney mendapati gaya hidup tidak sihat dalam kalangan mereka berumur 60 tahun ke atas, dikaitkan dengan peningkatan risiko dimasukkan ke rumah penjagaan. - Gambar hiasan
SYDNEY: Satu kajian baharu yang diketuai oleh penyelidik dari University of Sydney mendapati gaya hidup tidak sihat dalam kalangan mereka berumur 60 tahun ke atas, dikaitkan dengan peningkatan risiko dimasukkan ke rumah penjagaan.
Diterbitkan dalam Jurnal of Epidemiology and Community Health pada Khamis, kajian kohort itu berdasarkan analisis ke atas lebih 125,000 warga Australia berusia 60-an dengan gaya hidup seperti merokok, tahap aktiviti fizikal, masa duduk serta corak tidur dan diet, diletakkan di bawah penelitian akademik, lapor Xinhua.
Antara 127,108 peserta dengan purata susulan selama 10 tahun, penyelidik mendapati bahawa satu daripada tujuh orang dewasa yang lebih tua berada dalam kumpulan gaya hidup berisiko tinggi dan paling kurang sihat, dan mempunyai risiko 43 peratus lebih tinggi untuk kemasukan ke rumah penjagaan, berbanding mereka yang berada dalam kumpulan gaya hidup paling sihat.
Empat daripada lima faktor, kecuali diet, dikaitkan secara bebas dengan kemasukan ke rumah penjagaan, dengan risiko paling membimbangkan dikesan dalam kalangan perokok.
Walaupun penyelidikan terkini itu merupakan kajian pemerhatian dan memerlukan tindakan susulan untuk mewujudkan punca langsung, pasukan itu mencadangkan beberapa strategi untuk meningkatkan faktor gaya hidup yang perlu diteroka sebagai langkah baharu dalam penjagaan kesihatan awam.
"Meskipun penyelidikan lanjut diperlukan...orang ramai berpotensi mengubah gaya hidup mereka bagi mengelak daripada risiko dimasukkan ke rumah penjagaan atau kemudahan penjagaan orang tua pada masa hadapan.
"Ini bertepatan dengan Laporan Intergenerasi terkini bahawa jumlah orang yang berumur 65 tahun ke atas di Australia akan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh empat dekad akan datang, dengan permintaan tinggi untuk kemudahan penjagaan warga emas," kata pengarang utama kajian dan penyelidik di University of Sydney, Alice Gibson. - BERNAMA
#gaya hidup tidak sihat #Australia #Kajian #umur 60 tahun ke atas
;