Australia beri amaran hasrat China bina pangkalan tentera di 'belakang rumah'

Agensi
April 11, 2018 18:54 MYT
Prospek wujudnya pangkalan tentera China di rantau Pasifik Selatan dilihat dapat membatu Beijing menunjukkan kekuasaannya di peringkat serantau. - Foto fail Sinar Harian
Kerajaan Australia memberi amaran kepada China yang negara itu menentang sebarang hasrat Beijing untuk membina satu pangkalan tentera tetap di negara kepulauan kecil Vanuatu, seperti yang heboh dilaporkan sejak Isnin lalu.
Laporan itu antara lain mendakwa kerajaan China dan Vanuatu telah mengadakan rundingan awal untuk membolehkan satu pangkalan tentera tetap didirikan di pulau bekas jajahan Perancis di Pasifik Selatan itu.
Ia hanya kira-kira 2,400 kilometer dari perairan Australia dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.
BACA: China mahu bina pangkalan tentera di Vanuatu?
Bagaimanapun Beijing menerusi jurucakap Kementerian Luar Negara itu pantas mengeluarkan kenyataan pada Selasa yang menafikan laporan itu dan menganggapnya sebagai hanya satu ‘berita palsu’, seperti dilaporkan The New York Times.
Kerajaan Vanuatu juga memaklumkan tiada sebarang cadangan seumpamanya dikemukakan China seperti yang didakwa.
Menurut perdana menteri Australia, Malcolm Turnbull kerajaan Vanuatu telah memaklumkan secara rasmi kepada kerajaan Australia mengenai perkara itu.
“Australia melihat dengan penuh keprihatinan berhubung sebarang cadangan membina pangkalan tentera asing di negara-negara kepulauan Pasifik dan negara jiran, 'backyard' kami,” kata Turnbull dalam satu kenyataan pada Selasa.
Meskipun China dilihat sedang mengembangkan agenda cita-cita ekonomi dan geopolitiknya, namun sehingga kini hanya wujud satu pangkalan tentera dibina di luar negara itu iaitu di Djibouti di Lautan Hindi.
Prospek wujudnya pangkalan tentera China di rantau Pasifik Selatan dilihat dapat membantu Beijing menunjukkan kekuasaannya di peringkat serantau dan memecah penguasaan negara-negara Barat di rantau itu selama ini.
#Australia #Beijing #China #Kementerian Luar #kerajaan #malcolm turnbull #tentera #Vanuatu
;