AUKUS: Perancis panggil pulang duta di Amerika Syarikat, Australia

Agensi
September 18, 2021 16:55 MYT
Menteri Luar Negeri Perancis, Jean Yves Le Drian gambarkan penubuhan AUKUS sebagai tindakan 'menikam dari belakang'. - Gambar REUTERS
PARIS: Perancis memanggil pulang dutanya di Amerika Syarikat (AS) dan Australia sebagai bantahan terhadap pakatan tiga hala yang baru dibentuk pada Khamis.
Pakatan tiga hala yang dikenali sebagai AUKUS melibatkan kerjasama antara AS, Australia dan United Kingdom akan memberi tumpuan kepada rantau Indo-Pasifik.
Penubuhan AUKUS dilihat cuba mengimbangi pengaruh China yang semakin meluas di rantau berkenaan.
Ia juga memberi tumpuan kepada aspek perkongsian risikan serta memberi sokongan teknologi kepada Australia untuk membangunkan kapal selam bertenaga nuklear.
BACA: Penubuhan AUKUS: Malaysia suarakan kegusaran kepada Australia
Langkah itu menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Perancis apabila kerjasama itu sekali gus membatalkan perjanjian bernilai AS$40 bilion antara Australia dan Perancis sejak 2016 bagi membangunkan kapal selam.
Menteri Luar Negeri Perancis, Jean Yves Le Drian menggambarkan pakatan tersebut sebagai tindakan ‘menikam dari belakang’.
Perancis dimaklumkan berkenaan pakatan itu hanya beberapa jam sebelum diumumkan secara rasmi.
Seorang pegawai White House memberitahu, pentadbiran Joe Biden menyesali tindakan itu dan akan berunding bersama Perancis bagi mencari jalan tengah.
Sementara Menteri Luar Negeri Australia, Marisa Payne pula memberitahu, beliau memahami kekecewaan Perancis dan akan mengusahakan kerjasama dengan negara itu.
Insiden berkenaan dipercayai adalah pertama kali Perancis memanggil pulang perwakilannya dari kedua-dua negara itu.
#AUKUS #Perancis #Amerika #Australia
;