Aubameyang pamer aksi cemerlang bantu Arsenal
Astro Arena
September 21, 2018 09:53 MYT
September 21, 2018 09:53 MYT
ARSENAL 4 VORSKLA 2
Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol dalam setiap babak untuk membantu Arsenal melepasi halangan Vorskla menerusi kemenangan 4-2 dalam aksi pertama Liga Europa di Emirates, awal pagi tadi.
Pelawat dari Ukraine itu tampak sebuah pasukan yang liat untuk dijinakkan tetapi segalanya berubah selepas Aubameyang menyumbat gol pertama pada minit ke-32.
Danny Welbeck turut menemui jaringan pada awal babak kedua, sebelum Aubameyang menambah gol kedua peribadi serta Mesut Ozil yang masuk dari bangku simpanan melengkapkan gol keempat Arsenal.
Kapten Vorskla, Vladimir Chesnakov, memberikan harapan buat pasukannya dengan jaringan ketika aksi berbaki 14 minit untuk ditamatkan dan Vyacheslav Sharpar turut menyumbat gol sebelum perlawanan berakhir.
Alex Iwobi mencuri tumpuan ketika awal permainan dan hantaran lintang yang kemas daripada tonggak Nigeria itu membolehkan Aubameyang membuka tirai jaringan yang hadir daripada satu serangan balas berpunca daripada Henrik Mkhitaryan.
Lucas Torreira melakukan sepakan percuma yang sekadar menggegarkan tepi jaring gol, sebelum rembatan lencong Aubameyang selepas itu juga tidak berakhir dengan gol.
Tatkala penjaga gol Vorskla, Bogdan Shust, bekerja keras untuk mengekang usaha Mkhitaryan, pasukan pelawat jelas memerlukan tempoh rehat babak pertama untuk memperkemaskan permainan.
Sebaik aksi bersambung, skuad bimbingan Vasyl Sahchko itu gagal untuk mengekang tuan rumah dan Welbeck berada pada posisi terbaik untuk menanduk bola masuk gol kedua susulan hantaran daripada Mkhitaryan pada minit ke-48.
Rembatan voli Aubameyang dilihat meliar tetapi dia mengambil kesempatan di atas kesilapan Shust yang tidak berada di posisi sepatutnya untuk menyumbat gol ketiga The Gunners, sekali lagi hasil bantuan Mkhitaryan.
Stephan Lichtsteiner menggelecek Shust untuk membuka ruang buat pemain gantian, Ozil, menyumbat gol keempat pada minit ke-74 tetapi pertahanan berpengalaman itu dilihat terperangkap sewaktu Chesnakov menjaringkan gol pertama pelawat.
Walaupun rembatan Sharpar melepasi halangan Bernd Leno, segala-galanya sudah terlewat untuk Vorskla mengekang Arsenal daripada mencipta kemenangan.