'Atuk tembak saya' - Budak 6 tahun maut di tangan moyang sendiri

Saraya Mia
Julai 8, 2019 17:01 MYT
Stanley ditembak mati moyangnya sendiri menggunakan raifal angin. -Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak maut ditembak moyangnya sendiri menggunakan raifal angin dalam kejadian di Sproatley, timur Yorkshire, England.
Albert Grannon, 78, yang ketika itu sedang memeriksa senapang berisi peluru 0.22 kaliber itu di rumahnya secara tidak sengaja menarik picu menyebabkan mangsa yang juga cicitnya terus rebah kesakitan.
Ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya Stanley Metcalf, 6, sempat memberitahu bahawa moyangnya telah menembaknya.
Jenny Dees dalam kenyataannya berkata dia menyangka anaknya hanya bergurau apabila memberitahu yang "Atuk tembak saya."
“Takkanlah atuk tembak kamu, Stanley,” kata Jenny sambil mendukung anaknya yang sedang nazak.
Namun apabila keadaan Stanley semakin lemah, barulah Jenny sedar anaknya telah ditembak di bahagian perut.
Stanley meninggal dunia tidak sampai dua jam di hospital pada 26 Julai 2018 akibat kehilangan darah.
Tambah menyedihkan ibu bapa mangsa apabila Albert langsung tidak menunjukkan kekesalan atas kejadian yang menimpa keluarganya itu.
Kes dibicarakan di mahkamah sejak minggu lalu dan Albert dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan membunuh.
#Albert Grannon #Jenny Dees #maut ditembak moyang #raifal angin #Stanley Metcalf
;