Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun
Faida Rahim
Januari 8, 2023 18:45 MYT
Januari 8, 2023 18:45 MYT
HAWAII: Atlet sukan seni bela diri campuran (MMA), Victoria Lee dilaporkan meninggal dunia pada 26 Disember lalu.
Memetik laporan CNA, kakaknya, Angela Lee, mengesahkan kematian Victoria yang baru berusia 18 tahun itu pada hari ini (8 Januari).
"Pada 26 Disember 2022 keluarga kami mengalami keadaan yang diharapkan tidak perlu dilalui oleh keluarga lain," kata Angela Lee dalam catatan di Instagram.
Tambahnya, amat berat untuk memberitahu berita ini kepada pengikutnya.
"Amat sukar untuk mengumumkan hal ini. Victoria kami meninggal dunia. Dia pergi terlalu cepat dan keluarga kami benar-benar hancur sejak itu. Kami merinduinya. Lebih daripada segala-galanya di dunia ini. Keluarga kami tidak akan pernah sama. Kehidupan tidak akan pernah sama,” tulisnya.
Kematian Victoria Lee di Hawaii diumumkan secara terbuka oleh Taman Memorial Valley of the Temples di Kaneohe, Jumaat lalu namun punca kematiannya tidak diberitahu kepada umum.
Dilahirkan di Hawaii, Victoria Lee mewakili dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Singapura sebagai ahli pasukan MMA United dan Evolve MMA.
Victoria dilantik sebagai penolong tenaga pengajar di Evolve MMA, rangkaian gim seni bela diri di Singapura.
Menurut South China Morning Post, mendiang dijadualkan bertanding dalam perlawanan MMA Profesional keempatnya menentang Zeba Bano di India pada 14 Januari di Bangkok.