Atlet karate Olimpik Amerika Syarikat jadi mangsa kebencian anti-Asia

Agensi
April 9, 2021 13:42 MYT
Secara tiba-tiba, juara tujuh kali AS itu ditengking oleh seorang lelaki yang berada di kawasan itu. - Foto Facebook/Sakura Kokumai
INSIDEN kebencian oleh kelompok anti-Asia terus memuncak, kali ini melibatkan atlet karate Olimpik Amerika Syarikat (AS), Sakura Kokumai.
Kejadian itu dilaporkan berlaku minggu lalu ketika dia sedang berlatih di sebuah taman di selatan California.
Secara tiba-tiba, juara tujuh kali AS itu ditengking oleh seorang lelaki yang berada di kawasan itu.
Video itu dikongsi Sakura di laman Instagram beliau.
"Jangan tengok saya. Jangan dekat dengan saya," tengking lelaki itu seperti dalam video yang dikongsikan Sakura.
Dia kemudian bertanya kembali kepada lelaki itu: "Apa yang saya dah buat (hingga diherdik begitu)?"
Sakura, 28, pada awalnya tidak faham mengapa dia dijadikan sasaran.
"Jauhkan diri dari saya, Jangan tengk saya dari belakang," tengking lelaki itu lagi.
"Pulanglah. Saya tak buat apa-apa pun pada anda," balas Sakura dengan tenang.
Kemudian Sakura mendengar suara lelaki itu terus menggunakan kata-kata berunsur biadab dan rasis ketika memasuki kereta sebelum meninggalkan taman itu.
"Saya sedar wujudnya kebencian anti-Asia ketika ini. Anda dapat lihat setiap hari dalam berita.
"Saya tidak pernah fikirkan ia akan berlaku kepada saya di taman yang selalu saya buat latihan," katanya dalam temu bual KTLA-TV.
Dalam status di Instagram beliau, Sakura turut akui tidak ada individu berdekatan yang datang membantu ketika kejadian berlaku.
"Saya tidak tahu mana yang lebih teruk. Sama ada saya ditengking dan diugut untuk dikasari oleh seseorang tanpa sebab, atau orang di sekeliling saya yang menyaksikan kejadian itu tidak melakukan apa-apa," katanya.
"Saya marah, kecewa, keliru, takut, tapi pada masa sama saya kecewa selepas melihat dan mendapati orang ramai bersikap tidak ambil peduli.
"Kita perlu saling jaga satu sama lain, lihat satu sama lain," katanya.
Bagaimanapun, selepas kejadian itu, seorang wanita menghampirinya dan bertanya keadaannya.
Rakyat Amerika berketuruanan Asia kini berdepan serangan perkauman dan diskriminasi susulan pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.
Beberapa organisasi yang memantau kejadian ini mendapati belum ada petunjuk isu ini akan selesai.
Badan sosial bukan berasaskan keuntungan, Stop AAPI Hate, merekodkan hampir 4,000 laporan berkait insiden perkauman terhadap keturunan Asia di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
#Sakura Kokumai #pandemik #COVID-19 #Amerika Syarikat #California #Olimpik #anti-Asia #kebencian anti-Asia
;