Asyik batuk berdarah, rupanya lintah hidup di dalam tekak
Agensi
Julai 7, 2019 07:13 MYT
Julai 7, 2019 07:13 MYT
Kegusaran seorang wanita yang asyik batuk berdarah selain rasa tidak selesa di tekak akhirnya terjawab apabila doktor mengesahkan terdapat seekor lintah yang 'mendiami' mulutnya.
Wanita itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Wang, sebelum itu pergi membuat pemeriksaan di hospital tempatan di Guiyang, China.
Selain batuk berdarah, dia turut merasakan seolah-olah ada objek yang sentiasa bergerak pada bahagian tekaknya.
Pemeriksaan doktor mendapati seekor lintah pada bahagian saluran pernafasannya semasa menjalankan proses bronchoscopy.
Imej berkenaan turut menunjukkan parasit dengan ukuran 1.2 inci sedang melingkar pada bahagian glotis yang berhampiran dengan peti suara.
Wanita berusia 65 tahun itu turut diminta menjalani pembedahan selepas doktor mengesahkan boleh berlaku kecederaan yang lebih serius sekiranya lintah itu dikeluarkan secara paksa.