Asteroid sebesar dua 'Statue of Liberty' mendekati Bumi
Agensi
Januari 24, 2022 12:50 MYT
Januari 24, 2022 12:50 MYT
SEBUAH asteroid besar dijangka mendekati Bumi, namun tiada risiko hentaman, menurut rekod Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA).
Agensi berita Sputnik melaporkan, agensi angkasa lepas Amerika Syarikat itu mengklasifikasi asteroid 2017 XC62 sebagai 'objek dekat dengan Bumi' atau near earth object (NEO), yang dipercayai sekurang-kurangnya selebar 189 meter.
Itu bermakna asteroid itu bersaiz lebih dua kali ganda Statue of Liberty.
Saintis NASA terus memantau objek berkenaan, yang diramal akan berada di kedudukan paling dekat dengan Bumi pada Isnin, dengan pergerakan selaju 15,288 kilometer sejam.
Pada titik terdekat, batuan angkasa itu dijangka melepasi Bumi pada jarak kira-kira 7 juta kilometer.
Sebarang objek angkasa lepas yang bergerak dalam jarak 7.48 juta kilometer dari Bumi dikategori saintis sebagai 'risiko berbahaya'.
Bulan lalu, penyelidik NASA melaporkan bahawa sebuah asteroid sebesar Big Ben dijangka menghentam atmosfera Bumi pada ambang tahun baharu.