Asteroid 2024 YR4 tidak lagi timbulkan ancaman besar kepada Bumi - NASA
Bernama
Februari 26, 2025 19:28 MYT
Februari 26, 2025 19:28 MYT
NASA mengemas kini kebarangkalian hentamannya pada 22 Dis 2032 kepada hanya 0.004 peratus. - Gambar/ Reuters
LOS ANGELES: NASA mengesahkan bahawa asteroid 2024 YR4 yang pada awalnya dianggap sebagai ancaman berpotensi, tidak lagi menimbulkan ancaman besar kepada Bumi pada 2032 atau selepas itu, lapor Xinhua.
Asteroid berhampiran Bumi itu yang hampir sebesar padang bola sepak, pertama kali ditemui pada Disember tahun lepas.
Pakar sebelum ini menjangkakan peluang sebanyak tiga peratus bagi asteroid itu menghentam Bumi sebelum mengurangkannya kepada 0.28 peratus pada minggu lepas.
Berikutan pemerhatian lanjut, NASA mengemas kini kebarangkalian hentamannya pada 22 Dis 2032 kepada hanya 0.004 peratus, menurut Pusat Pengajian Objek Berhampiran Bumi.
NASA menambah bahawa asteroid itu tidak menimbulkan risiko besar kepada Bumi untuk sekurang-kurangnya satu abad akan datang.
Bagaimanapun, masih terdapat 1.7 peratus kemungkinan ia boleh menghentam bulan.
NASA akan terus memerhatikan asteroid 2024 YR4 selepas langkah itu memberikan data berharga untuk memajukan kaedah pertahanan planet dan memperhalusi proses ramalan kesan hentaman, menurut agensi itu.
-- BERNAMA